in

Zakaria sangkal dakwaan dipecat

Content AuthorYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

PELABUHAN KLANG: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad, hari ini menyangkal dakwaan beliau telah dipecat sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Zakaria sebaliknya menjelaskan beliau telah melepaskan jawatan itu dengan persetujuan ahli lembaga pengarah yang lain, bertujuan menjaga integriti dan ketelusan syarikat berkenaan.

“Sebelum ini kami (ahli lembaga pengarah) telahpun berbincang untuk memisahkan kuasa ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan kerana tidak mahu wujud konflik kepentingan di situ.

“Ini kerana apabila saya memegang jawatan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif ), ahli lembaga pengarah lain sukar untuk membuat keputusan berhubung apa-apa tindakan ke atas syarikat kerana adanya saya sebagai CEO dalam kalangan ahli lembaga pengarah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran ‘Inisiatif FGV-MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) Dalam Menerajui Penggunaan B10’ di sini.

Sehubungan itu, Zakaria berkata menerusi mesyuarat agung tahunan syarikat pada Jun lepas, beliau telah menyatakan persetujuan dan memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

“Spekulasi mengatakan saya dipecat itu tidak benar. Keputusan melepaskan dan menamatkan jawatan saya sebagai ahli lembaga pengarah dicapai supaya syarikat lebih telus dan sekiranya ada melibatkan perkara sensitif, ahli lembaga pengarah boleh berbincang dengan lebih bebas,” katanya.

BACA: FGV gantung tugas CEO, dagangan saham digantung sementara

Semalam, FGV dalam satu kenyataan berkata, khidmat Zakaria sebagai ahli lembaga pengarah syarikat perniagaan pertanian itu ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Tindakan tersebut dibuat selepas FGV menerima surat daripada pemegang saham khas yang menarik balik pelantikan Zakaria sebagai ahli lembaga pengarah dalam pelaksanaan perlembagaan baharu FGV.

Sementara itu, mengulas mengenai perubahan penstrukturan operasi pengurusan syarikat tersebut, Zakaria menjelaskan tiada sebarang perubahan berlaku.

“Apa yang berlaku hanya melibatkan kakitangan yang bersara sahaja yang mana tempat mereka digantikan kakitangan lain, proses ini tidak melibatkan sebarang penstrukturan semula organisasi syarikat,” katanya. — Bernama




  • Leave a Reply

    FGV gantung tugas CEO, dagangan saham digantung sementara

    Kerajaan P. Pinang soal SPAD tentang cadangan projek LRT