Bitcoin Boleh Bertukar Hukum Menjadi Haram

6 Keadaan Bitcoin Boleh Bertukar Hukum Menjadi Haram

903 Views in
Verified UserCommunity ModeratorYears Of MembershipUp/Down VoterContent AuthorStory MakerList Maker

Walaupun Bitcoin boleh menjadi harus pembeliannya untuk simpanan dan transaksi sebagai perantara pembelian (medium of exchange) dek kerana keyakinan terhadap sistem sekuriti utuh ‘block chain’, ‘digital signature’ dan distributed ledger, namun hukumnya masih boleh berubah menjadi HARAM atau ditegah disebabkan beberapa faktor luaran seperti :-

1. Dasar Kerajaan Yang Mengharamkan

Diharamkan penggunaan oleh kerajaan maka tatkala itu ia menjadi haram juga dari hukum Shariah atas dasar kemaslahatan awam dan mengelak mudarat menurut penilaian oleh pihak kerajaan contohnya (ini bukan pendapat saya tetapi kemungkinan perspektif regulator & kerajaan sahaja) dari sudut:

  • Ketiadaan kawalan terhadap keluar masuknya,
  • Pengelakan cukai yang mampu kurangkan hasil negara
  • Jatuh permintaan Ringgit yang boleh risikokan status kestabilan ekonomi
  • Hilangkan populariti simpanan wang di institusi kewangan tempatan yang risikokan masa depan institusi berkenaan boleh heret kerajaan juga.
  • Bimbangnya tiada data tepat sebahagian pentunjuk aktiviti ekonomi setempat yang bakal menyukarkan statistik lebih tepat terhadap prestasi tahunan negara
  • Tiada kawalan terhadap kawalan aktiviti wang gelap dan lain-lain.

Justeru bagi mengelakkan mudarat di atas bagi sesiapa yang melanggarinya akan dikenakan tindakan oleh kerajaan. Tatkala itu keterlibatan dalam bitcoin dan crypto yang lain adalah ditegah dek kerana mudarat yang boleh terkena ke atas pelaku.

Pun begitu, jika kerajaan mampu memperkenalkan satu mekanisme untuk mengawal dan memantau mudarat di atas, sudah tentu adalah lebih baik dibenarkan dengan kawalan keran ia punyai banyak kebaikan juga untuk rakyat dan negara.

2. Isu Gharar

Apabila pihak kerajaan menyekat seluruh exchange platform bagi menyekat seluruh transaksi cryptocurrency dalam sesebuah negara. Tatkala itu tahap GHARAR adalah besar iaitu ketidaktentuan bagaimana pihak bertransaksi untuk memastikan bitcoin yang dibeli mampu ditunaikan dan digunakan apabila dikehendaki.

Justeru, tahap gharar menjadi luas disebabkan penyekatan ini. Ini telah berlaku di Malaysia apabila BNM membekukan exchange platform yang menyediakan khidmat di Malaysia, MALAH pelanggan exchange platform terbabit turut diambil data maklumat peribadi mereka bagi disemak oleh LHDN bagi tujuan semakan cukai. Malahan, menggunakan bitcoin dan sepertinya di luar negara juga banyak halangannya disebabkan halangan negara terbabit.

3. Melalui Jalan Riba’

Apabila membeli bitcoin menggunakan wang pinjaman dengan riba. Ia menjadi haram kerana pinjaman itu sendiri malah bertambah kemudaratannya disebabkan mendedahkan diri ke tahap spekulasi yang sangat tinggi kerana terpaksa membayar pinjaman dan interest, sambil berharap nilai bitcoin naik lalu mendapat lebihan sebagai untung. Keadaan tersebut menjadikan ia sangat hampir kepada elemen perjudian kerana hanya bergantung kepada nasib.

4. Skim Cepat Kaya

Apabila menyertai SKIM bitcoin atau crypto melalui skim ala-ala cepat kaya anjuran orang tengah atau syarikat pengantara yang menjanjikan keuntungan tetap atau lumayan.

Ini adalah HARAM dari sudut syariah dan juga undang-undang setempat. Malah ada yang membeli bitcoin melalui akaun yang dimiliki syarikat ini lalu mendedahkan diri kepada penipuan dan ditipu.

5. Kos Yuran Pemindahan Tidak Diketahui

Apabila kos yuran transaksi dan pemindahan (transfer) yang dikenakan oleh exchange setiap kali pemindahannya TIDAK DIKETAHUI oleh pelaku pemindahan dari awal, ia menjadikannya gharar sekiranya jumlahnya semakin besar.

Khususnya sekarang ini yang mana kos yang dikenakan oleh bitcoin miner dan exchange adalah tinggi disebabkan math difficulties bertambah. Malah berlaku lambakan unconfirmed transaction yang banyak hingga melewatkan proses pemindahan.

6. Bitcoin Capai Status Matawang Digital

Bagi mereka yang mengganggap Bitcoin telah mendapat status MATAWANG DIGITAL sebagaimana pandangan beberapa ilmuan tempatan dan antarabangsa. Ia boleh menjadi salah didagangkan SECARA AKTIF dan FREQUENT contohnya, setiap hari kerana selaku matawang ia TIDAK boleh diperdagangkan pada dirinya. Sebagaimana disebut oleh Imam al-Ghazzali:

” لا غرض في عينهما، فإذا اتجر في عينهما فقد اتخذهما مقصودًا على خلاف الحكمة
Ertinya : Matawang tiada manfaat khusus pada dirinya (seperti dinar dan dirham), sekiranya ia didagangkan kerana dirinya sendiri (untuk ambil untung dari nilai berbeza) maka ia adalah telah bercanggah dengan hikmah (matawang).
Ibn Qayyim turut menyatakan yang sama :فالأثمان لا تقصد بعينها بل يقصد التوصل بها إلى السلع، فإذا صارت في نفسها سلعًا تقصد لأعيانها فسد أمر الناس
Ertinya : Harga (matawang) tidak boleh disasarkan pada zatnya tetapi mestilah objektifnya sebagai perantara untuk mencapai komoditi, tatkala matawang didagangkan seperti komoditi dan disasarkan pada dirinya (yang tiada nilai intrinsic), rosak urusan manusia’

Hal yang sama turut ditegaskan oleh ulama silam seperti Ibn Rushd, Al-Qarafi, Ibn Taymiah dan ulama kontemporari seperti Taqi Uthmani dan Dr. Ahmad Muhydin Ahmad serta lainnya.

Manakala jika bitcoin dan crypto TIDAK dianggap matawang dan hanya ‘digital asset’ maka pada dasarnya, asset dan komoditi itu adalah harus diperdagangkan pada diri namun apabila didagangkan secara terlalu kerap dan jual beli dalam tempoh terlalu singkat dengan nilai terlalu berbeza dengan cepat hanya kerana demand and supply, ia dikatakan boleh membawa kepada syubhah perjudian. Wallahu’alam.

Itulah beberapa faktor luaran yang perlu diambil kira oleh mana-mana ilmuan sebelum bertindak mengharuskan bitcoin dan cryptocurrency dalam sesebuah negara.

Faktor terdedahnya kepada risiko tinggi yang disebabkan kuatnya perubahan nilai turun naik (volatile & fluctuation) pada sesuatu cryptocurrency dan bitcoin itu sebenarnya masih tidak cukup kuat untuk menjadikannya ‘haram lizatihi’ secara mutlak, ia adalah kerana :-

a. Tahap tanggungan risiko itu berbeza di antara seorang dan yang lain malah risiko sememang suatu elemen yang wujud.

b. Hatta dalam bisnes yang halal wujud risiko dalam perniagaan dan jatuh dan naiknya juga, yang juga boleh mendedahkan kepada tahap yang sangat tinggi sehingga muflis sesebuah syarikat.

c. Selain itu, ia juga bersifat pilihan individu apabila sesebuah risiko itu dengan syarat ia TIDAK mencetuskan mudarat yang langsung kepada individu lain, sebagai contoh jika seseorang MEMILIH untuk sengaja tidak mengunci kenderaannya, ia adalah suatu risiko atas pilihan sendiri, dan tatkala ia tidak mencetuskan mudarat kepada orang lain, ia masih belum termasuk dalam ruang haram tetapi makruh sahaja. Namun jika seseorang memilih risiko memandu laju dan berbahaya di atas jalan raya awam, maka itu menjadi risiko yang diharamkan kerana mampu menyebabkan mudarat kepada orang lain juga, selain dirinya sendiri.

Dr Zaharuddin Abd Rahman

PhD, Syariah & Islamic Finance, Univ of Wales, United Kingdom.

Lihat juga video pendek Fahami Teknlologi Disebalik Bitcoin untuk pembaca yang masih samar-samar dengan Bitcoin.

13 points
Upvote Downvote