Ada Apa Dengan Yaman? Kelainan Istimewa Yang Tiada Pada Bumi Mesir

346 Views in
Embed MakerStory MakerList MakerContent AuthorYears Of Membership

#1 Yaman dan Mesir Berpisah Tiada

Mesir dan Yaman, dua bumi bersejarah yang menyimpan ribuan rahsia tamadun terdahulu sejak zaman berzaman. Bagi yang meminati sejarah Islam, kedua negara ini sudah pasti menjadi kunjungan terawal.

Mesir yang berkongsi gelaran bumi Anbiya’ dengan wilayah bersejarah Syam, serta Yaman yang masyhur dengan panggilan bumi Auliya’.

Sejak berdekad, kedua bumi ini juga menjadi tumpuan bagi masyarakat di Nusantara untuk menghantar para pemuda dan pemudi mereka bagi menuntut ilmu dan memperoleh pendidikan di pusat pengajian yang terdapat di sana.

Sudah pasti, keadaan setempat yang berbeza serta peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku mempengaruhi sikap dan pemikiran anak-anak Nusantara di Mesir dan Yaman.

Sejujurnya, perasaan pertamaku menjejak di bumi Mesir ialah terkejut dengan perbezaan yang ketara di antara sikap mahasiswa dalam memahami tugas sebagai seorang mahasiswa.

#2 Anehnya Mesir

Kebanyakan pelajar Mesir melihat keberadaan mereka di perantauan bukan sekadar untuk menuntut ilmu, tetapi untuk mewujudkan satu masyarakat Islam dalam kalangan pelajar sebagai langkah persediaan untuk mengubah masyarakat tanah air.

Mereka menekankan aspek kepimpinan dan berorganisasi, dan aktif mengadakan program kemasyarakatan yang merangkumi pelbagai aspek fizikal, intelektual dan ruhani.

#3 Oh Yaman, Taman Para Wali

Di Yaman pula, khususnya di negeri Hadramaut, aku diperkenalkan dengan Islam yang menjadikan muhasabah hati dasarnya. Hari demi hari, bertambah kelemahan diri yang aku jumpai.

Kesilapan yang aku lihat pada seseorang hanya mencerminkan kekurangan diri. Aku diajar untuk mencari kebaikan orang lain dan ikhlas dalam menasihati.

Nasihat itu bukan di khalayak dan hakikatnya tertuju kepada diri sendiri. Sifat taksub dan ujub pada kebenaran pihak sendiri perlu dijauhi.

Tidak sekadar itu, masyarakat dijadikan medan untuk memperbaiki hati. Dakwah dengan menunjukkan akhlak yang baik sebagai tunjang utama dalam memperbaiki.

Kesilapan dan maksiat ditegur apabila bersendiri. Kesalahan orang lain yang tidak dizahirkan tidak pernah dicari. Masyarakat Islam yang dikejar bermula dengan pengislahan diri-diri.

Bermula dengan keluarga yang dididik dengan ilmu Islam serta amali.

Di samping melihat peranan menguasai asas dan cabang ilmu dengan segala kemampuan sebagai tanggungjawab yang diamanahkan masyarakat Islam kepada para mahasiswa, pendidikan di Yaman juga menekankan kemahiran berbicara dan menyampaikan, serta disiplin dalam beramal dan fokus dalam memperbaiki diri.

Tidak lupa juga aspek khidmat dan adab kepada para guru dan orang tua yang menjadi tradisi masyarakat Hadramaut khususnya.

#4 Harapan

Sebagai kesimpulan, tidak ragu lagi bahawa perbezaan sikap dan pemikiran antara mahasiswa di dua negara yang berbeza ini adalah hasil perbezaan suasana dan sejarah negara tersebut sendiri.

Sudah pasti, mahasiswa di negara yang lain juga mempunyai perbezaan masing-masing yang menjadi identiti sendiri. Justeru, tidak syak lagi, setiap mahasiswa perlu memahami perbezaan ini dan menerimanya.

Terutamanya apabila pulang ke tanah air nanti atas dasar dan matlamat persefahaman yang menjadi impian bersama.

Follow terus kami di kolum ini untuk mengikuti perkongsian info-info menarik tempat pelancongan.

Baca Juga: Awas! 5 Tempat Pendakian Terbaik Wajib Diterjah Ketika Musim Sejuk Di Mesir

4 points
Upvote Downvote