5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menjejakkan Kaki Ke Negara Baltik

385 Views in
Content AuthorCommunity ModeratorVerified UserYears Of MembershipStory MakerList MakerUp/Down VoterGallery Maker

Mungkin kita sudah biasa dengan ‘Balkan’. Tetapi ada satu lagi bahagian di Eropah yang tidak kurang menariknya iaitu Baltik. Baltik yang diberikan nama berdasarkan perairannya (Laut Baltik) terletak di timur-utara Eropah terdiri daripada 3 buah negara; Estonia, Latvia dan Lithuania. Ia menjadi pintu sempadan antara Russia dan Eropah Tengah.

Estonia; negara paling hujung utara-timur yang bersempadan dengan daratan Russia dan perairan Finland.

Latvia; negara di tengah-tengah yang juga mempunyai persempadanan dengan Tanah besar Russia dan Belarus.

Lithuania; Negara paling hampir dengan Eropah Tengah yang mempunyai persempadanan dengan Kaliningrad (tanah terasing Russia), Belarus dan Poland.

#1 Kos yang lebih murah berbanding negara Eropah yang lain

Walaupun dikatekorigakan sebagai negara berpendapatan tinggi, sebaliknya kos sara hidup di Baltik lebih murah berbanding kebanyakan negara Eropah yang lainnya. Bagi traveller pula, kos perjalanan di sana hampir semua sudut bermula daripada makanan, pengangkutan hinggalah penginapan relatif lebih murah. Hostel boleh didapati bermula 5 Euro. Bahan mentah juga murah. Malah makanan di Restoren juga tidak terlalu mahal. Keropok tortilla di atas yang bersaiz 450g, hanya berharga lebih kurang RM6. Ia sesuatu yang murah jika dibandingkan tempat lain di Eropah.

#2 Pertembungan antara budaya senibina barat dan soviet Russia

Seperti mana ia menjadi sempadan antara Russia dan Eropah Tengah, ia juga menjadi sempadan antara 2 empayar yang besar; Eropah dan Russia. Walaupun negara Baltik mempunyai kerajaannya tersendiri, tetapi sering kali menjadi perebutan kuasa-kuasa besar di sekitarnya (Jerman, Finland, Sweden dan Poland). Sehinggalah kurun ke-19 apabila diserap menjadi sebahagian Empayar Russia. Selepas kejatuhan Empayar Russia (selepas Perang Dunia Pertama), Kesemua negara Baltik mendapat kemerdekaan. Namun kemerdekaan mereka tidak lama apabila Soviet Union yang menjatuhkan Empayar Russia mengambil kembali negara Baltik. Negara Baltik mendapat kemerdekaan mutlak selepas jatuhnya Soviet pada awal 1990-an.

Disebabkan latar sejarah ini, negara Baltik mempunyai landskap yang berbeza. Pertembungan senibina Barat dan Timur Eropah (Russia) menjanjikan kelainan berbanding bandar-bandar Eropah yang lain. Walaupun kerajaan sudah menukar dasar kepada kapitalis dan liberal, namun tinggalan-tinggalan soviet masih utuh berdiri di segenap penjuru. Jadi kalau anda ingin ke Russia tetapi pening fikir soal visa, mungkin negara Baltiklah alternatifnya.

#3 Kaya dengan alam semulajadi

Tanah di negara Baltik kebanyakannya subur dan masih 'dara'. Apabila anda bergerak dari satu bandar ke satu bandar yang lain, anda akan melihat kehijauan yang mengasyikkan (selain musim sejuk). Tidak dilupa tasik-tasik yang memukau seperti Druksiai, Tauragnas dan Platelial. Malah Lithuania dikenali sebagai 'Laky Country' kerana terlalu banyak tasik, melebihi 3000 buah.

Selain banyak kawasan masih hijau, tidak dilupa bahawa Baltik mempunyai perairan yang sangat cantik; Laut Baltik. Persisir pantai Baltik cukup terkenal sebagai spot yang baik untuk mandi di musim panas. Pantai di Parnu, Jurmala, Cape Kolka dan Hiiumaa antara yang menjadi tarikan utama pelancong saban tahun.

#4 Bas Antara Bandar yang Mewah dengan Harga Rendah

Tidak lengkap jika anda mengembara ke negara Baltik tetapi tidak mencuba bas antara bandar yang eksklusif ini. Bas yang dikendalikan oleh Syarikat Lux Ekspres ini mempunyai jaringan laluan yang luas dari Moscow, Russia hingga ke Warsaw, Poland. Bermakna anda bukan sahaja boleh bergerak antara negara Baltik, malah boleh ke timur untuk mengembara terus ke Russia, atau ke barat untuk menuju ke Poland atau negara Eropah Tengah yang lainnya.

Apa istimewanya bas ini? Kesemua bas dilengkapi Wifi, kerusi yang luas dan selesa serta hiburan (movie, lagu dan game) di skrin setiap kerusi. Malah sebahagian bas menyediakan mesin kopi yang boleh dinikmati kopinya secara percuma. Sambil itu anda akan dihidangkan dengan pemandangan di jendela yang mengasyikkan. Seperti menaiki kapal terbang kelas perniagaan. Tetapi yang memeranjatkan harganya agak murah. Contohnya perjalanan dari Vilnius, Lithuania ke Warsaw, Poland yang memakan masa lebih 8 jam boleh didapati dengan harga serendah 8 Euro. Malah mungkin lebih murah jika mendaftar keahlian Lux Ekspres.

#5 Tenang dan sesuai untuk menenangkan diri

Walaupun Baltik terdiri daripada 3 buah negara, namun jumlah populasinya tidak ramai. Jumlah keseluruhan hanya lebih kurang 6 juta. Bandar terbesar, Riga pula hanya memiliki populasi 700 ribu penduduk. Anda akan dapati keadaan yang tidak terlalu sibuk walau di bandar. Tiada kesesakan trafik mahupun manusia. Andai mahu lebih tenang, boleh duduk di tepian laut Baltik atau pergi kawasan luar bandar. Mungkin inilah tempat terbaik untuk anda berlibur merehatkan diri.

Cukup 5 perkara ini menjadi sebab untuk anda masukkan negara Baltik dalam bucketlist. Suatu kerugian jika anda sudah sampai ke banyak negara Eropah, tetapi tertinggal wilayah Baltik ini.

14 points
Upvote Downvote