in

Sentiasa Berikan Yang Terbaik!

Story Maker

Gambar sekadar hiasan

Jalan yang sama aku lalui setiap pagi, pasti akan ada insan-insan yang setia menunggu rezeki pagi mereka. Ada yang bercangkung menutup kepala dengan serban putihnya, ada yang duduk sambil menggendong bayi kecilnya. Ada juga pakcik tua yang badannya kurus kering, sentiasa berdiri sambil tidak henti-henti berdoa dengan kalimah Rabbuna Najah.’

Selalunya, apabila menaiki bas, ada yang meletakkan kertas bertulis selawat nabi,  ayat kursi atau manfaat bersedeqah ke atas riba penumpang. Lebih tragik apabila segelintir mereka yang datang sambil menujukkan ‘kertas putih doktor,’  katanya memerlukan wang untuk pembedahan segera.

Aku tidak boleh lari daripada fenomena ini setiap pagi. Meminta sedekah telah menjadi sebuah pekerjaan yang tidak asing bagi sesetengah masyarakat di sini. Semua lingkungan umur pernah aku temui. Daripada usia yang muda hingga tua.

Kadang-kadang tidak semuanya yang jujur. Ada sahaja yang berpura-pura, sebab aku sendiri pernah menyaksikan orang yang tidak boleh berjalan pada waktu pagi tiba-tiba sihat walafiat pada petangnya.

Ketahuilah, semua itu adalah urusan mereka dengan Tuhan, jadi apa pula urusan kita denganNya?

Kita ada makanan hari ini dan makanan semalam. Yang kita beri?

Kita ada baju baru dan baju yang lusuh. Yang kita beri?

Kita ada duit berlebih di dalam purse. Yang kita beri?

… Dan janganlah kamu memilih yang buruk lalu kamu nafkahkan darinya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya…- (2:267)

Ketika memberi, mata kita melihat pada yang zahir. Sedangkan hakikat sebuah pemberian adalah presentasi kepada Allah itu sendiri. Abstrak.

Logiknya, mereka yang menadah tangan, meminta kepada kita bukan? Seolah-olah kita lebih mulia kerana tangan yang diatas lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Namun, sebenarnya, merekalah yang sedang menolong kita untuk mengumpul saham ke sana (akhirat) nanti.

Bayangkanlah kita pula berada di posisi mereka.

Mahukah kita menerima makanan bekas semalam?

Mahukah kita menerima baju yang sudah luntur tiada warna?

Mahukah kita menerima duit sekeping yang berlipat-lipat apabila dibuka sudah nak terbelah dua?

Oleh itu, berikanlah yang terbaik! Bukankah kita juga ingin diperlakukan dengan cara yang sama?

Sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki atau perempuan dan memberikan pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan balasan untuk mereka, dan mereka akan mendapat pahala yang mulia -(57:18)




  • Ada Apa Dengan Kosong?

    Jurgen Klopp Akhirnya Bersuara Tentang Gol Offside Sadio Mane Ketika Menentang Arsenal