in

Seminar Belia & Intelektual 2018 : Pencetus Gerakan Pemikir Mahasiswa Malaysia di Mesir

“Mendepani Wacana Malaysia Baharu”

Poll MakerStory Maker

KAHERAH : Seminar Belia dan Intelektual: Mendepani Wacana Malaysia Baharu anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mesir telah diadakan di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) pada 13 hingga 14 Disember 2018 yang lalu.

 

Tiga orang panel telah dijemput bagi mengisi slot di dalam seminar tersebut.

Panel pertama ialah Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Shariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) membawa tajuk ‘Kepentingan Pendidikan dan Ihya’ al-Turath dalam Proses Pembentukan Era Malaysia Baharu’.

 

 

Panel kedua ialah Encik Mohd Faridh Hafez bin Mohd Omar, Felo Siswazah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa tajuk ‘Islam dan Melayu dalam Pembangunan Bangsa Malaysia’.

Baca lagi : Melayu dan Islam Rasis?

 

Panel ketiga ialah Encik Jufitri bin Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) membawa tajuk ‘Peranan Belia sebagai Pencorak Masa Depan Malaysia Baharu’. Beliau membentangkan tajuk tersebut pada 15 Disember 2018 di Teratak ABIM Mesir berikutan jadual penerbangan beliau ditangguhkan.

Siapakah beliau?  :  Panel 2 SBI’08 : Jufitri Joha (Tokoh Belia ASEAN 2018)

Menarik untuk dibaca : Adakah Belia & Beliawanis Malaysia lesu pada tahun 2030?

Antara penglibatan aktif mahasiswa sewaktu program :

Para peserta lelaki memberi tumpuan kepada pengisian syarahan pembentangan yang cukup baik dan tuntas.
Para peserta wanita memberi perhatian sewaktu perbincangan bersama ahli panel
Salah seorang peserta seminar menyuarakan pendapat serta idea hasil syarahan yang dibentangkan.
Saudara Hakim Ismail merupakan ahli jawatankuasa Akademi pemikiran Turath (APT) yang mengendalikan diskusi sebagai moderator untuk slot diskusi meja bulat.
Mahasisiwi pengajian Islam membincangkan persoalan berkenaan pendidikan Islam dan Turath
Saudara Afifi Azhar melontarkan pendapat beliau dalam diskusi bersama pembentang
Presiden IKRAM Mesir, Saudara Omar Shabana turut terlibat bergandingan bersama mahasiswa Mesir ke arah yang lebih baik.
Pegawai ATASE Negeri Sembilan juga turut memberikan perkongsian pengalaman beliau serta sokongan kepada mahasiswa Mesir.
Salah seorang mahasiswi berani menyuarakan pendapat dan persoalan sepanjang perbincangan.
Mahasiswi Mesir (empowerment of women) antara penggerak utama dalam pembentukan kehidupan belia dalam memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dan agama.

 

Pada akhir seminar tersebut, satu slot perbincangan dinamakan ‘Diskusi Meja Bulat’ telah diadakan antara para mahasiswa di bawah bimbingan panel.

Peserta seminar telah dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi membincangkan tajuk ‘Perpaduan Kaum: Menghidupkan Persamaan dan Mengurus Perbezaan’, ‘Mahasiswa dan Rakan dalam Pembinaan Negara’ serta ‘Gagasan dan Cabaran Pendidikan Islam’.

Kumpulan 1 : ‘Mahasiswa dan Rakan dalam Pembinaan Negara’
Kumpulan 2 : ‘Perpaduan Kaum: Menghidupkan Persamaan dan Mengurus Perbezaan’
Kumpulan 3 : ‘Gagasan dan Cabaran Pendidikan Islam’

Justeru, lapan resolusi telah digariskan bersama hasil perbincangan secara kritis di dalam Diskusi Meja Bulat tersebut :

1.    Menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mempergiatkan medium dialog lintas bangsa di universiti-universiti.

2.    Mencadangkan KPM agar menekankan penghayatan sejarah kosmopolitan bangsa Melayu dengan penerapan karya-karya besar tentang peradaban Islam di Alam Melayu.

3.    Menyarankan KPM agar mengadakan Kursus Kemahasiswaan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Education Malaysia (EM) di luar negara yang menekankan aspek kepimpinan, kemahiran berfikir, membaca, menulis dan pidato, aspek pendidikan akhlak serta aspek kesedaran sosial dan panduan penggunaan media sosial.

4.    Mencadangkan KPM supaya mewujudkan silibus ‘Pendidikan Malaysia’ iaitu pendidikan yang menekankan kefahaman tentang kepelbagaian agama, budaya, bangsa dan etnik di Malaysia dalam sektor pendidikan.

5.    Menyarankan KPM agar menyediakan platform kepada graduan universiti yang tidak mampu menyelesaikan hutang pengajian untuk berkhidmat dalam sektor pendidikan dan kesukarelawan sebagai alternatif pembayaran hutang pengajian. 

6.    Menyeru KPM agar mengkaji semula pedagogi dan silibus pendidikan Islam di peringkat sekolah serta mengetatkan syarat kelayakan pelajar lepasan SPM menyambung pendidikan dalam bidang pengajian Islam.

7.    Mencadangkan KPM agar menggesa Universiti Al-Azhar untuk menambahbaik pelaksanaan kajian ilmiah (Bahath ‘Ilmiyy) kepada mahasiswa sarjana muda dalam bidang pengajian masing-masing.

8.    Menyarankan Education Malaysia Egypt (EME) agar mewujudkan kursus Bahasa Inggeris berkala kepada mahasiswa Malaysia di Mesir bagi meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris.

Semoga seminar ini menjadi pencetus awal kepada belia terutama mahasiswa dan mahasiswi Mesir di Malaysia mengangkat idealisma perjuangan yang realistik untuk memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.

Ayuh Mahasiswa Mesir!