in

Selangor cadang pinda had umur minimum perkahwinan

Years Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterContent AuthorQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

SHAH ALAM: Selangor bercadang meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berkenaan had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam di negeri itu, iaitu daripada 16 tahun dinaikkan kepada 18 tahun.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata cadangan pindaan itu susulan isu perkahwinan kanak-kanak yang semakin berleluasa, termasuk membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Selatan Thailand baru-baru ini.

Beliau berkata MAIS dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan perbincangan mendalam bagi menangani masalah itu pada 19 dan 20 Julai lepas dengan melibatkan pakar-pakar daripada pelbagai jabatan atau agensi kerajaan khususnya pakar perubatan, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Hasil perbincangan tersebut, keputusan bersama telah dicapai bagi mencadangkan pindaan kepada peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu bagi menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

“Dengan cadangan pindaan ini, had umur minimum perkahwinan bagi wanita dan lelaki Islam di Selangor akan diselaraskan menjadikan umur minimum 18 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Mohammed Khusrin, cadangan pindaan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 itu akan dibawa kepada sidang Dewan Negeri Selangor secepat mungkin.

Beliau dalam pada itu berkata, keputusan mesyuarat yang diadakan atas titah Sultan Selangor itu turut bersetuju untuk memperketatkan kelulusan perkahwinan di bawah umur oleh pihak Hakim Mahkamah Syariah.

Ia dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak yang terlibat di dalam perkahwinan tersebut dan mengelakkan kemudaratan kepada mereka, katanya.

Menurut Mohammed Khusrin, antara syarat yang dicadangkan untuk diperketatkan adalah dengan mewajibkan hakim untuk mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani beberapa Kursus Kekeluargaan Khas, menghadiri sesi kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menjalani pemeriksaan perubatan yang dikendalikan oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

“Hakim juga akan diwajibkan untuk menyiasat kedudukan ekonomi bakal suami, rekod jenayah lampau (sekiranya ada) dan memanggil bakal suami atau bakal isteri dan bakal ibu bapa mertua atau mana-mana pihak lain untuk diambil keterangan sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan.

“Selain itu, terdapat lagi beberapa syarat lain yang bersifat ‘procedural’ yang perlu dikemaskini dan ditambah baik demi kepentingan mereka yang berhasrat berkahwin di usia muda ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, pindaan undang-undang ini adalah bagi memastikan kepentingan masa depan kanak-kanak sentiasa menjadi fokus utama dan menjadi sebagai pertimbangan utama hakim dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan permohonan pernikahan bawah umur.

— BERNAMA




  • What do you think?

    0 points
    Upvote Downvote