in

Reformasi diperlukan agar Perdana Menteri tidak pegang portfolio kewangan – Daim

Years Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterContent AuthorQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

KUALA LUMPUR: Reformasi adalah perlu bagi memastikan Perdana Menteri tidak memegang portfolio Menteri Kewangan di masa depan untuk mengelak konflik kepentingan dan berulangnya skandal berbilion ringgit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Langkah Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak memegang portfolio kewangan dan memberikannya kepada Lim Guan Eng di bawah kerajaan Pakatan Harapan disambut baik oleh rakyat, kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“Ini kerana ia akan membolehkan semakan dan imbangan serta mencegah penyalahgunaan pengurusan ekonomi dan kewangan negara.

“Itulah sebabnya kita memerlukan reformasi untuk mencapai matlamat ini,” katanya ketika ditanya mengenai keperluan pemisahan kuasa perdana menteri dan menteri kewangan semasa satu temu bual dengan Bernama News Channel dan Perkhidmatan Ekonomi Bernama di sini semalam.

“Jika mana-mana pemimpin masa depan cuba mengubah ini, saya berpendapat rakyat akan membantah,” kata Daim, yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan antara 1984 dan 1991 di bawah Perdana Menteri Dr Mahathir ketika itu.

Apabila perdana menteri juga menjadi menteri kewangan, “tidak ada semakan dan keseimbangan, dia buat apa yang dia suka dan tiada siapa yang akan mencabarnya,” katanya dalam rujukan yang jelas kepada pentadbiran sebelum ini di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib adalah Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

“Itulah sebabnya kita katakan, pisahkan jawatan ini (kerana) ia adalah jawatan yang sangat penting, jadi tidak ada konflik kepentingan,” kata Daim, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Beliau berkata, bahawa negara-negara yang paling maju dan membangun tidak mempunyai ini (perdana menteri yang memegang portfolio kewangan), “sangat, sangat jarang, Malaysia adalah pengecualian, mungkin dengan satu atau dua negara lain.”

Dr Mahathir sebelum ini berkata, peranan perdana menteri dan menteri kewangan perlu dipisahkan untuk mengelakkan berulangnya skandal kewangan 1MDB.

Ditanya bagaimana kerajaan dapat memastikan pemimpin masa depan mematuhi pemisahan perdana menteri dan portfolio kewangan, Daim berkata: “Kita mesti mempunyai Kabinet yang kuat yang mampu mengkritik menteri kewangan kerana jika dia adalah PM merangkap menteri kewangan, tiada siapa yang akan melakukan itu (mengkritik beliau).

“Itulah yang berlaku di bawah pentadbiran terdahulu, yang membawa kepada skandal kewangan 1MDB, dan itu hanya satu, terdapat lebih banyak 1MDB mini dan sesetengahnya sama besar dengan 1MDB,” katanya.

— BERNAMA