in

Pertemuan kedua di Panmunjom

Content AuthorYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

SEOUL – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengadakan pertemuan mengejut dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un semalam bertujuan untuk memastikan kejayaan sidang kemuncak antara Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata beberapa pegawai Seoul. Pertemuan tidak dirancang antara Jae-in dan Jong-un berlangsung di kampung sempadan, Panmunjom dan berlaku sebulan selepas mereka berjumpa pada sidang kemuncak pertama antara Korea Selatan dan Korea Utara dalam tempoh lebih sedekad, juga di lokasi sama.

Pada sidang kemuncak pertama mereka, Jae-in dan Jong-un mengisytiharkan akan menjadikan Semenanjung Korea bebas daripada senjata nuklear.

“Jae-in dan Jong-un bertukar-tukar pandangan tentang bagaimana untuk menjadikan sidang kemuncak Korea Utara- AS berjaya di samping dialog mengenai Deklarasi Panmunjom,” kata seorang jurucakap Presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Katanya, Jae-in akan mengumumkan hasil pertemuan beliau dengan Jong-un pagi ini.

Terdahulu, Trump berkata bahawa pertemuannya dengan Jong-un mungkin diteruskan dan berkemungkinan besar diadakan mengikut jadual pada 12 Jun depan.

Trump berkata demikian menerusi kenyataan di Twitter, sehari selepas beliau tanpa diduga, bertindak membatalkan pertemuan tersebut.

Sidang kemuncak itu bakal menjadi pertemuan luar biasa antara Presiden AS dan pemimpin Korea Utara dan diharap akan menjurus kepada perlucutan senjata nuklear oleh Pyongyang.

Trump berkata, ‘perbincangan amat produktif’ sedang diteruskan untuk mengadakan semula sidang kemuncak itu.

“Sekiranya berjaya, sidang ini berkemungkinan besar kekal diadakan di Singapura seperti yang sama dijadualkan pada 12 Jun,” kata Trump sambil menambah, pertemuan tersebut juga boleh dilanjutkan jika perlu.

Trump membatalkan sidang kemuncak yang dijadualkan di Singapura itu pada Khamis lalu dan menyalahkan ‘sikap permusuhan dan kemarahan Pyongyang sejak beberapa hari lalu’ sebagai punca beliau berbuat demikian. 
– AFP/Reuters