in

Latar Belakang Kesenian Silat Gayong Yang Anda Tidak Tahu

Story Maker

Pada tanggal 29 November 2018 ini,Kelab Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Mesir bakal mengadakan program Jelajah D.R.A.M di Bumi Anbiya’. Program yang julung-julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk merasmikan gelanggang Seni Silat Pusaka Gayong cawangan Mesir sekaligus diadakan ujian kenaikan bengkung bagi ahli-ahli kelab ini.

Sebagai seorang pencinta seni silat, penulis berbesar hati untuk menceritakan serba sedikit tentang Seni Silat Gayong yang memang sangat dikenali di tanah air kita.

Siapa D.R.A.M?

Logo Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong
http://Logo%20Pertubuhan%20Seni%20Silat%20Pusaka%20Gayong

Bagi peminat dan penggiat seni silat Gayong,khususnya seni silat Pusaka Gayong. Nama D.R.A.M adalah suatu nama yang memang tidak asing lagi. D.R.A.M merupakan akronim bagi Dato’ Dr Raja Abdul Majid atau lebih mesra dikenali dengan nama Pak Andak Majid. Beliau merupakan Guru Utama dan juga pengasas kepada Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Bagi anak-anak Gayong,beliau merupakan the living legend kerana beliau merupakan salah seorang murid utama Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman,Mahaguru Seni Silat Pusaka Gayong.

Sejarah Ringkas Gayong               

Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman
http://Allahyarham%20Dato’%20Meor%20Abdul%20Rahman

Seni Silat Gayong mempunyai sejarah yang panjang,tetapi di sini penulis hanya akan menceritakan serba ringkas mengenai sejarah Seni Silat Gayong.

Seni Silat Gayong ini mula dikembangkan oleh Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman,yang mewarisi ilmu persilatannya dari datuk sebelah ibunya,Syed Zainal Syed Idris Al-Attas. Berkat dari kesungguhan Dato Meor Abdul Rahman,Seni Silat Gayong telah berkembang dengan pesat ke seluruh Tanah Melayu dan mempunyai cawangan di seluruh Tanah Melayu.

Seni Silat Gayong juga merupakan pertubuhan silat pertama yang berdaftar secara sah di Malaysia. Malah dijadikan silibus seni bela diri bagi pasukan Polis Diraja Malaysia dan dilatih oleh Dato’ Meor sendiri.

Dalam puluhan malah ratusan anak-anak murid Dato’ Meor, Dato’ Dr.Raja Abdul Majid merupakan antara murid-murid utama Dato’ Meor Abdul Rahman dan diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Gurulatih Kanan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM).

Perkembangan Gayong

Pecah Gayung di Dalam Dulang

Dulang Hanyut di Lautan Tujuh

Perpecahan Gayong Perpecahan Sayang

Di suatu masa kembali berteguh

Sehingga kini,ada puluhan malah mungkin ratusan pertubuhan Silat Gayong dengan berbagai-bagai nama dan versi. Ada antaranya yang ditubuhkan oleh murid-murid Dato’ Meor Abdul Rahman untuk mengembangkan lagi seni silat Gayong ini.

Walaupun silat Gayong ini banyak pertubuhannya, semua anak-anak Gayong adalah merupakan saudara segayong, kerana kita semua berasal dari Mahaguru yang sama,iaitu Dato’ Meor Abdul Rahman.

Disebalik Gayong

Gayong bukanlah sekadar nama yang diberikan kepada suatu seni silat. Gayong mengandungi makna-makna dan falsafah tersendiri yang seharusnya dipelajari dan difahami oleh setiap yang bergelar anak Gayong.

Gayong dalam ejaan Jawi merupakan perkataan yang terdiri daripada huruf Ga,Alif,Ya,Wau,Nga. Setiap huruf ini membawa maksud Genggam,Angkat,Yakin,Waras,Ngeri yang merupakan falsafah yang seharusnya dipegang oleh setiap anak Gayong.

Ga-Genggam 

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

Alif-Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

Ya-Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri

Wau-Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

 Nga-Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.

 

                                                                

Ku GENGGAM segala amanah Allah,ku ANGKAT segala

tanggungjawab yang diberi Allah dan Guru,ku YAKINI

segala pelajaran pada yang mengajarku, ku sampaikan

dengan hati yang bersih dan WARAS, ku NGERI azab dan

balasan dari Allah jika tersalah perbuatan.

-Tok Naga-