in

Najib bayar ikat jamin RM1 juta

Content AuthorYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang didakwa atas empat pertuduhan rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.282 bilion, hari ini membayar jaminan RM1 juta daripada jumlah keseluruhan RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen semalam.

Najib, 65, yang memakai baju kemeja merah jambu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 10.55 pagi dan terus menuju ke kuanter bayaran jamin Mahkamah Sesyen bagi menandatangani dokumen ikat jamin.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib iaitu Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Bagaimanapun, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor tidak kelihatan.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan kemudiannya beredar dari mahkamah dengan menaiki kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Vellfire berwarna putih pada kira-kira 11 pagi.

Sebelum beredar, Najib memberitahu pemberita bahawa beliau telah menjelaskan bayaran jaminan RM1 juta seperti yang ditetapkan oleh mahkamah semalam.

“Saya sudah bayar (RM1 juta) seperti mana yang ditetapkan dan bakinya saya akan bayar sikit-sikit,” katanya.

Semalam, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib diikat jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin dan menetapkan 16 Nov untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada hari ini dan RM500,000 setiap hari sebelum atau menjelang 28 Sept.

Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Najib sebelum ini didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah pada Julai dan Ogos lepas dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sementara menunggu sebutan semula kes pada 4 Okt.

— BERNAMA