"Car Food Sahur" di Pantai Batu Buruk tarik ramai pengunjung

469 Views in
Story MakerList MakerYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterContent Author

Sekumpulan anak muda Terengganu di bawah pertubuhan Komuniti Car Food Sale kembali menganjurkan acara jualan makanan sahur ‘Car Food Sahur’ buat tahun yang keempat di kawasan Pantai Batu Buruk di sini.

Menyajikan pelbagai hidangan makanan tradisi tempatan, wakil penganjur, Aril Arif Abd Razak berkata acara yang berkonsepkan bersahur secara santai dan membuat kebajikan di kawasan pantai peranginan itu kali ini berjaya menarik kira-kira 200 pengunjung setiap malam.

“Kedatangan pengunjung yang ramai juga mungkin kerana kami ini lebih ramai vendor yang berniaga iaitu 25 orang berbanding 18 pada tahun lepas… kami juga mulakan operasi perniagaan lebih awal iaitu lima hari selepas umat Islam berpuasa berbanding tahun lalu, iaitu seminggu selepas puasa.

“Waktu perniagaan juga kami panjangkan selama sejam iaitu beroperasi dari 12 tengah malam hingga 5 pagi supaya lebih ramai pengunjung dapat menikmati pelbagai juadah makanan tempatan untuk bersahur bersama rakan-rakan dan anggota keluarga mereka di sini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Setiap malam pengunjung yang datang katanya bukan sahaja dapat menikmati makanan dengan cara bersila di atas hamparan tikar, tetapi juga dihiburkan dengan lagu-lagu berunsur ketuhanan yang dipersembahkan oleh kumpulan KT Busker.

“Seperti tahun sebelum ini, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada vendor untuk tapak perniagaan, sebahagian keuntungan yang kami dapat daripada hasil jualan pula akan diserahkan kepada badan kebajikan yang kami pilih.

“Malah tahun ini bagi meningkatkan aktiviti kebajikan, pihak kami turut mengadakan kerjasama dengan sukarelawan SPRING dari Masjid Ladang bagi mengadakan majlis buka puasa bersama anak-anak yatim dan mengedar makanan sahur kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Terengganu ini,” kata Aril Arif.