in

Lesen memandu: Ramai setuju kekal had umur sedia ada

Content AuthorYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

KUALA LUMPUR: Pengumuman Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula had umur bagi mendapatkan lesen kenderaan mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Berdasarkan tinjauan di sekitar ibu kota pada Sabtu, rata-rata yang ditemui bersetuju mengekalkan had umur minimum seperti sedia kala, iaitu 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.

BACA: Had umur pengambilan lesen memandu mungkin perlu dikaji – Anthony Loke

Antaranya, Safarizan Mohamad Sedek, seorang pelatih polis, yang berpendapat remaja pada usia 16 dan 17 tahun sudah mampu berfikir dengan matang.

“Pada pendapat saya, lesen motor ambil pada 16 tahun sesuai, dan umur 17 untuk ambil lesen kereta sesuai, sebab masa itu, tahap mereka sudah matang,” katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsi seorang suri rumah, Faridah Mohd Yatim.

“Anak-anak sekarang, jika tiada lesen, bahaya juga,” tambahnya, menyuarakan kebimbangan dengan kes kemalangan motosikal melibatkan remaja.

Bagi usahawan, Khang Lai Bin, faktor usia bukan suatu masalah.

Sebaliknya, isu remaja yang enggan mengambil ujian memandu untuk mendapatkan lesen kenderaan merupakan masalah yang harus diberi perhatian.

“Masalahnya, mereka tidak mahu hadir ujian untuk ambil lesen. Banyak yang tidak ambil ujian,” katanya. 

Beliau bagaimanapun percaya, umur paling sesuai untuk mengambil lesen ialah 18 tahun ke atas. “Ini lebih baik dan lebih selamat,” tambahnya.

Selain itu, pelatih polis, Mohd Naqip Abdul Rahim, turut bersetuju dengan had umur minimum pengambilan lesen yang ditetapkan.

“Saya rasa (usia 16 tahun untuk motosikal) bersesuaian kerana dalam kalangan remaja pada masa ini, kebanyakan mereka membawa motosikal ke sekolah, tetapi tidak mempunyai lesen,” katanya.

Bagi segelintir masyarakat yang berpendapat had umur minimum harus ditingkatkan ke 18 tahun, mereka merasakan seseorang lebih bertanggungjawab pada usia itu.

“Bagi had umur motosikal, saya rasa 18 sesuai. Dan untuk lesen pandu kereta pula, saya rasa 20 tahun adalah umur yang bersesuaian,” kata Farah Liza, eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Turut berkongsi pendapat serupa ialah Kamaruddin Ismail, seorang polis bantuan di Universiti Islam Antarabangsa, yang merasakan usia 21 tahun lebih sesuai.

“Pada 21 tahun, mereka mempunyai pemikiran yang mungkin lebih bertanggungjawab,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat juga yang memberikan cadangan supaya had umur tersebut dikurangkan ke 14 tahun.

“Kebanyakan budak-budak berumur 13 dan 14 tahun sudah pandai menunggang motosikal. Kadang-kala, melalui permerhatian sahaja, mereka sudah boleh memandu kenderaan.

“Jadi, adalah lebih baik jika kita bagi peluang kepada mereka untuk belajar cara yang betul dan lebih sistematik,” kata Ridzaudin A. Majid, seorang usahawan.

Pelajar universiti, Mohd Luqman Ariff Mazwar, turut berpendapat had umur tersebut harus diturunkan.

“Sebabnya, kebanyakannya pelajar sekolah menengah pergi ke sekolah dengan menunggang motosikal. Jadi saya rasa ia (had umur) patut dikurangkan,” katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Jumaat meminta orang ramai memberi maklum balas mengenai isu yang semakin membimbangkan ini.

Hal ini ekoran statistik yang menunjukkan korban kemalangan jalan raya pada 2016 adalah sebanyak 7,152 orang. Kebanyakan yang maut adalah golongan muda berusia antara 16 dan 25 tahun.