in

Kerajaan teliti maklum balas sebelum laksana projek lebuh raya PIL1

Years Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterContent AuthorQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

GEORGE TOWN: Kerajaan persekutuan masih belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan cadangan projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) di Pulau Pinang, yang akan dilaksanakan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata pihaknya akan meneliti semua maklum balas daripada orang awam yang menyokong mahupun membantah projek berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita mahu penyelesaian terbaik untuk semua pihak seperti trafik, persekitaran, kesan sosial dan sebagainya. Kita terbuka kepada idea dan saya melihat sebahagian masyarakat yang menyokong dan ada tidak menyokong.

“Tidak ada penyelesaian yang boleh memberi kepuasan kepada semua orang, jadi kita harus seimbang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penerangan PIL1 anjuran kerajaan negeri di Arena SPICE, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan barisan exco kerajaan Pulau Pinang serta perunding projek berkenaan.

YEO-PIL1 2 (AKHIR) GEORGE TOWN

Yeo berkata pihaknya dan kerajaan negeri akan memastikan keputusan yang akan dibuat kelak bersifat ‘menang-menang’ demi kebaikan rakyat negeri itu.

Terdahulu, Yeo menerima kira-kira 2,000 surat bantahan daripada orang awam yang dikumpulkan pertubuhan bukan kerajaan, Penang Forum, sejak 25 Ogos lepas.

Sementara itu, Chow berkata projek berkenaan tidak akan dilaksanakan selagi tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar.

Namun, beliau berkata walaupun kelulusan diperoleh masih terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum projek tersebut dilaksanakan.

Cadangan projek lebuh raya PIL1 sepanjang 19.5 kilometer (km) bernilai RM7.5 bilion itu merangkumi enam persimpangan, jejambat sepanjang 7.6km, terowong (10.1km) dan ’embankment’ (1.8km).

PTMP ialah projek inisiatif negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion yang melibatkan terowong dasar laut menghubungkan pulau dengan tanah besar, lebuh raya-lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas yang menyeluruh di pulau dan tanah besar.

— BERNAMA