Tabayyun : Suatu Renungan Untuk Dua Pihak

295 Views in , , , ,
Embed MakerStory MakerYears Of Membership

Allah Subhanahu Wa Ta’ala Berfirman :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَن تُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

[Surat Al-Hujurat : 6]

Cara sesetengah orang apabila melihat ayat ini :

“Haaa. Tengok musuh kita, mereka ini tidak beriman. Mereka tak pernah tabayyun bila datang berita”.

“Cuba tengok puak/kumpulan tu, suka sebar fitnah. Tak reti tabayyun ke?”

“Sifat munafik ni, tak suka tabayyun. Musuh kita ni suka sebar perkara-perkara yang memburukkan kita”

“Dia sebar berita palsu, aku pun bolehlah”

Contoh-contoh di atas, adalah benar, dan tidak salah jika hanya tumpukan pada konsep tabayyun sahaja. Tetapi, naratif yang ingin dibawakan, jika diulang-ulang secara berterusan, maka, apa yang akan difahami bagi pendengar, atau pembaca ialah, mereka hanya menolak tugas tabayyun dan menetapkan suatu kebenaran pada berita itu kepada pihak lain atau pihak bertentangan sambil memburukkan pihak tersebut. Ini akan memberi perspektif yang buruk kepada hanya pihak lain dan pada masa yang sama, tanpa sedar, menonjolkan diri sebagai orang yang tidak bersalah.

Adapun, jika kita melihat sebab penurunan ayat di atas, ia menunjukkan sebaliknya.

Ayat ini diturunkan pada peristiwa yang melibatkan seorang Sahabat yang bernama Al-Walid Bin U’qbah telah diutuskan untuk mengutip zakat daripada Bani Mustaliq yang baru sahaja memeluk Islam. Al-Walid Bin U’qbah, ketikamana hendak sampai ke kawasan Bani Mustaliq, beliau menyangka bahawa mereka ingin berperang kerana ketika itu, orang-orang Bani Mustaliq menunggu beliau dalam jumlah yang ramai. Maka beliau pun pulang kepada Rasulullah dan memberitahu Baginda bahawasanya Bani Mustaliq ingin memerangi Islam. Ketika itu, tiba Al-Harith Bin Dhirar daripada Bani Mustaliq dan bertanya kepada Rasulullah tentang pengutipan zakat yang sepatutnya berlaku sebentar tadi. Maka berlakulah proses penyelidikan kepada Al-Harith Bin Dhirar. Kemudian, turunlah ayat di atas.

Sebab penurunan ayat tersebut memberikan penjelasan, bahawa, hatta kepada Sahabat sendiri pun, Nabi melakukan tabayyun ini. Bukan menolak kepada pihak lawan sahaja. Nabi mengajar kita, supaya melakukan penyelidikan, bukan hanya kepada pihak berlawanan, malah, ke atas pihak sendiri. Ini supaya dapat mengelak naratif buruk kepada pihak tertentu, hanya kerana salah faham kepada golongan tersebut. Sepatutnya, ayat ini digunakan untuk orang beriman melakukan renungan terhadap diri, bukan menuding jari kepada pihak lain.

Ini juga bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰ⁠مِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan

[Surat Al-Ma’idah 8]

Cadangan tindakan yang mengharmonikan

  1. Apabila sampai suatu berita kepada kita (tanpa mengira daripada kumpulan mana pun, hatta kumpulan sendiri), selidiklah dengan baik.
  2. Baca suatu berita itu daripada semua pihak (bukan daripada kumpulan kita sahaja) supaya kita dapat mengetahui berita tersebut daripada pelbagai sudut sebelum menghukum sesuatu yang tidak jelas
  3. Baca dan faham perspektif daripada semua pihak
  4. Jika ingin menghukum, hukumlah dengan adil dan tidak berat sebelah kepada kumpulan sendiri
  5. Jikalau takut tidak dapat berlaku adil, lebih baik diam diri daripada menzalimi orang lain
  6. Apabila terlihat suatu penyebaran berita palsu (walaupun daripada kumpulan sendiri), tegurlah dengan baik
  7. Jika telah terbukti kita melakukan kesalahan (sebar berita palsu, dan sebagainya), maka janganlah malu untuk tarik kembali dan minta maaf atas kesilapan yang dilakukan

Kesimpulannya

  • Ayat di atas menunjukkan bahawa, sikap orang beriman adalah untuk bertabayyun, bukan menyuruh pihak lain bertabayyun tetapi tidak melakukannya diri sendiri
  • Islam tidak mengajar seluruh manusia untuk memberikan naratif buruk kepada pihak lain sedangkan pada masa yang sama, pihak itu tidak melakukan perkara tersebut
  • Islam mengajar semua pihak untuk berlaku adil. Walaupun kepada pihak lawan. Sebagaimana kita boleh bersangka baik dan ingin disangka baik, sebegitu jugalah sebaliknya.