Melayu dan Islam Rasis?

Slot 1: Islam dan Melayu dalam Pembangunan Bangsa Malaysia

160 Views in
Poll MakerStory MakerYears Of Membership

Tema Islam dan Melayu dalam naratif Malaysia bukan perkara asing dan bukan perkara baru. Perbahasan isu ini sering kali dibahaskan sehingga hari ini.

Persoalannya, sampai bila hak melayu dan Islam perlu dijaga? Relevankah melayu dan Islam menjadi tema besar dalam Malaysia Baharu?

Slot 1 bertajuk ‘Islam dan Melayu dalam Pembangunan Bangsa Malaysia’ disampaikan oleh Ustaz Faridh Omar, Felo Siswazah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

Secara historikal, pelbagai label penghinaan disinonimkan dengan bangsa Melayu seperti mitos “peribumi malas” hinggalah ke dongeng “Melayu mudah lupa”.

Lebih parah naratif ini masih lagi kedengaran dalam konteks semasa sementelah mendepani Malaysia Baharu pasca PRU-14. Dan lebih malang wujud sesetengah dari kita yang seperti meng-iyakan naratif mitos dan dongeng tersebut dengan kenyataan-kenyataan yang tidak membangunkan jiwa bangsa Melayu yang penuh dengan pemeliharaan al-‘ird (maruah) dan kehormatan diri (dignity).

 

Dengan jelas perkara ini disanggah Siddiq Fadzil dengan mengingatkan bahawa sejak abad 13M, rantau ini (terutama Malaysia) menyaksikan suatu gerakan pengislaman telah berlaku secara ekstensif dan intensif dalam erti kata hampir seluruh kepulauan Melayu, dan meliputi hampir seluruh lapisan masyarakat rumpun Melayu.

Secara langsung ia menatijahkan ‘umat baru’ yang beragama dan berbudaya baru, iaitu umat yang melihat segala sesuatu dengan worldview tauhidik, menyikapi segala sesuatu dengan berasaskan etos dan set nilai Islami.

Islam dan Melayu, karya oleh Siddiq Fadzil

Siddiq Fadzil selanjutnya menggambarkan gerakan pengislaman ini sebagai suatu “transformasi keagamaan” yang berpaksikan prinsip dan nilai keadilan;

“Transformasi keagamaan itulah yang membentuk sikap menjunjung tinggi nilai maruah dan prinsip keadilan. Kesedaran Melayu tentang maruah (dignity) terlambang dalam kata air muka dan terjelma dalam sikap tahu malu atau sense of shame.”

Para peserta memberikan tumpuan kepada wacana.

Antara perkongsian beliau dalam membincangkan tajuk tersebut :

  • Kekuatan sesuatu bangsa dalam dunia keilmuwan apabila bahasa dimartabatkan dengan menterjemah bahan bacaan luar berkualiti tinggi ke dalam bahasa sendiri.
  • Menteri sebelum ini, Dato Dr. Rais Yatim pernah mengatakan bahawa sepenuh kewangan negara akan dibelanjakan untuk membeli peninggalan sejarah negara kita diluar negara.
  • Datangnya Islam ke seluruh alam adalah memandu assabiyah bangsa yang ekstrim tanpa menafikan bangsa dengan keadilan.
  • Dua gagasan besar yang diwacanakan dalam pembentukan rakyat yang lebih baik seperti Bangsa Malaysia dan Masyarakat Madani.
  • Bangsa Melayu, bangsa majoriti seharusnya menjadi penyelesai dan solusi dalam kerangka masyarakat majmuk.
  • Syed Muhammad Naquib al-Attaas mendefinasikan masyarakat madani adalah civilized berakalkan Islam, termandu dengan prinsip Islam dalam masa yang sama turut menghormati orang lain.
  • Islam adalah rahmat kepada seluruh alam yang berbentuk inklusif bukan berbentuk eksklusif.

Maka sangat jelas akan ekstensi Islam dan Melayu adalah elemen tidak terpisah dalam pembinaan watak bangsa Melayu-Islam di Malaysia sejak awal lagi.

Bahkan kenyataan ini turut diperakui oleh Syed Naquib Al-Attas yang menyatakan kehadiran Islam dan penerimaan masyarakat Melayu untuk percaya (beriman) dengannya telah mengakibatkan suatu perubahan terbesar bukan sahaja pada rupa tetapi mewujudkan ‘jiwa baru’. Malah, perubahan tersebut boleh dibuktikan secara keseluruhan samada dari sudut budaya, bahasa, sosio-ekonomi-politik, keagamaan dan pelbagai lagi.

Ayuh umat bangsa melayu!

Mantera Beradu – Malique featuring M. Nasir

Baca lagi berkaitan SBI18:

Revolusi 4.0 Kemuncak Era Perindustrian

Benarkah Revolusi Industri Merugikan Umat Islam?

Adakah E-Buku Inovasi Kepada Buku Fizikal?

Buku Fizikal atau Buku Digital : Apakah Pilihan Dan Hujah Anda?