Masjid Nabawi Semakin Hari Semakin Besar, Tapi Di Manakah Sempadan Asal Ketika Zaman Nabi?

Coretan Di Tanah Haram (Siri 2)

929 Views in
Content AuthorCommunity ModeratorVerified UserYears Of MembershipStory MakerList MakerUp/Down VoterGallery Maker

Setibanya Nabi SAW berhijrah dari Mekah, ramai sahabat di Madinah ketika itu berlumba-lumba nak jadikan Nabi SAW sebagai tetamu istimewa di rumah masing-masing.

Namun Baginda SAW menyerahkan pilihan itu kepada unta tunggangannya. Unta tersebut terus berjalan sambil menoleh kiri dan kanan, seolah-oleh mencari sesuatu.

Akhirnya atas arahan Tuhan, ia berhenti dan merebahkan badannya di satu kawasan tanah, dipercayai sebuah kandang unta dan tempat mengeringkan tamar. Kininya adalah mimbar yang Baginda SAW gunakan suatu ketika dahulu.

Waktu inilah seorang sahabat bernama Abu Ayub al-Ansori lekas-lekas mengambil barangan Nabi SAW di atas unta tersebut lalu membawanya pulang ke rumah. Baginda SAW mengatakan seorang pengembara akan tinggal bersama barang-barangnya.

Oleh yang demikian, Nabi SAW menetap di rumah Abu Ayub al-Ansori sehingga selesai pembinaan Masjid Nabawi. Sesudah itu, Baginda SAW membina rumahnya sendiri bersama kesemua isterinya secara berperingkat.

Setelah diberitahu bahawa tanah tempat unta berhenti tadi milik Suhail dan Sahl, dua orang anak yatim dari Bani Najjar, Baginda SAW memanggil mereka berdua. Berunding untuk membelinya bagi membina masjid di situ.

Suhail dan Sahl enggan menjualnya, bahkan ingin menghadiahkan tanah tersebut kepada Nabi SAW. Baginda SAW juga enggan menerimanya. Akhirnya ia terjual juga dengan nilai 10 dinar yang dibayar oleh Saidina Abu Bakar.

Maka bermulalah kerja-kerja membina pada hari kedua. Nabi SAW sendiri telah mengerah keringatnya dalam pembinaan bersejarah ini, mengangkat batu-bata dan lain-lain bersama para sahabat. Baginda SAW juga mengarahkan supaya ada kubur di sana digali dan dipindahkan ke tempat lain.

Pohon-pohon tamar yang ada di sekitar ditebang lalu dijadikan tiang masjid. Pelepahnya pula digunakan sebagai atap di saf depan. Dindingnya diperbuat daripada batu-bata dan tanah liat. Kira-kira keluasannya ketika itu adalah 32.5 meter x 28 meter persegi.

Disebabkan orang Islam semakin ramai, Nabi SAW telah membesar dan meluaskan kawasan masjid kepada 46 meter x 46 meter persegi pada tahun ke-7 hijrah.

Pembesaran Masjid Nabawi giat dilakukan walaupun setelah wafatnya Nabi SAW bagi menampung jemaah yang hadir. Antaranya pada zaman pemerintahan Saidina Umar, Saidina Uthman dan selepasnya. Diteruskan lagi sehingga ke hari ini oleh Kerajaan Arab Saudi.

Kiranya asal Masjid Nabawi adalah yang sederat dengan Raudah, itu saja. Laluan ketika kita berjalan menziarahi Makam Nabi SAW itu adalah binaan baru pada zaman terkemudian.

“Jadi macam mana kita nak tahu setakat mana masjid pada zaman Nabi SAW?”

Ha yang ini menarik. Walaupun pembesaran dan pembinaan berlaku setiap zaman, namun pihak Masjid Nabawi masih lagi menjaga dan meletakkan tanda-tanda bagi tapak asal masjid di zaman Nabi SAW.

Begini, kalian masuk ke dalam. Jalan terus ke depan sampailah ke kawasan yang ukirannya sedikit unik dan berlainan. Lampu-lampu yang digunakan juga agak berbeza, siap ada yang bergantung. Mudah nak cam.

Dongakkan kepala dan cari ada tulisan di tiang atas seperti yang saya bulatkan di dalam gambar. Ia bertulisan Arab dengan maksud: Had Masjid Nabi SAW.

حد مسجد النبي عليه السلام

Di situlah keluasan Masjid Nabawi pada zaman Nabi SAW, kawan. Bermula dengan seluas itu, dibesarkan depan dan belakang, dilebarkan kiri dan kanan selaras dengan bertambahnya umat Islam. Setelah meningkatnya jumlah mereka yang bertandang ke mari dari tahun ke tahun demi mencapai reda dan rahmat Tuhan.

Coretan ini ditulis oleh Najmi Farisham