Kitab Bible Tidak Wujud Semasa Zaman Rasulullah SAW?

Al-Quran Kitab Cetak Rompak – Clement Chin Siri 2

1,133 Views in , , ,
Embed MakerStory MakerYears Of Membership

Menolak dakwaan Al-Qur’an adalah sebuah kitab cetak rompak dan 70% isi kadungan Al-Qur’an diceduk/ditiru daripada cerita-cerita lama yang ada sebelum kewujudan Islam.

بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum, selamat datang dan selamat kembali kepada para pembaca. InsyaAllah, penulis akan menyambung jawapan siri 1 kepada dakwaan Clement Chin bahawa “Al-Qur’an ialah kitab cetak rompak”

4. Bible tidak wujud di Tanah Arab ketika kehidupan Nabi Muhammad.

Pertanyaan yang timbul, apabila penulis membaca kenyataan yang dibuat oleh para missionary christian tentang “Al-Quran dicetak rompak ataupun ditiru”, ia ditiru dari siapa? Mengapa penulis tidak menulis soalan ‘ia ditiru dari apa’? Kerana apa yang menariknya, Bible tidak wujud di Tanah Arab ketika kehidupan Nabi Muhammad. Maka syubhat yang perlu dijawab ialah ‘kemungkinan’ ia ditiru dari sesiapa. Ada para missionary christian yang berhujjah dengan mengatakan:

  1.  Bahawa Waraqah Bin Naufal yang memberitahu Nabi Muhammad cerita-cerita tersebut dan Nabi Muhammad menulisnya atau meminta sahabat lain menuliskan untuknya
  2.  Bahawa ada seorang tukang besi yang beragama christian romawi yang berada di kawasan keliling luar Kota Mekah mengajar Nabi Muhammad

Dua kenyataan mempunyai masalah dari sudut sejarah.

  1.  Nabi Muhammad hanya bertemu dengan Waraqah Bin Naufal 2 kali sepanjang hidupnya. Diceritakan oleh Ibnu Ishaq (seorang sejarawan Islam), sekali sebelum penurunan wahyu pertama iaitu apabila Nabi Muhammad bersama pakciknya berdagang, Nabi Muhammad hilang dari pakciknya dan dijumpai oleh Waraqah Bin Naufal. Sekali lagi selepas penurunan wahyu, iaitu bersama Khadijah. Para sejarawan semua bersepakat bahawa apabila Nabi Muhammad bertemu dengan Waraqah pada masa ini, ialah selepas Nabi Muhammad menerima wahyu pertama malah, Waraqah sendiri mengakui bahawa Nabi Muhammad ialah seorang Rasul. Maka, ia merupakan sesuatu yang tidak masuk akal untuk mengatakan, Nabi Muhammad, yang dikurniakan suatu peringkat yang tinggi, malah diakui oleh Waraqah sendiri, mengambil cerita-cerita dari Waraqah kemudian menulisnya atau dituliskan untuknya.
  2.  Kenyataan ini telah dijawab oleh Al-Quran sendiri dalam Surah An-Nahl Ayat 103. Tukang besi yang dikatakan itu, tidak pandai bercakap Bahasa Arab. Sedangkan Nabi Muhammad berbahasa Arab dan Al-Quran itu sendiri Bahasa Arab.

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّمَا يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ ۗ لِّسَانُ الَّذِي يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِيٌّ وَهَٰذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُّبِينٌ 

(Al-Tabiri:103)

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata. (103)

5. Kenyataan “Al-Quran Kitab cetak rompak” ialah dakwaan yang bercanggah dengan sejarah dari sudut musuh Nabi Muhammad pada zaman Nabi. 

Kita sering mendengar bahawa Nabi Muhammad dicaci, dimaki, dikutuk dengan perkataan-perkataan seperti tukang sihir, hanya seorang penyair, penipu dan sebagainya pada zaman kehidupannya. Tetapi tidak pula kita mendengar bahawa Nabi Muhammad dituduh sebagi peniru atau agama Islam ialah agama tiruan. Sedangkan orang-orang musyrikin Mekah ialah orang-orang yang paling kuat menentang Baginda. Mustahil bagi aqal untuk memikirkan bagaimana ara musyrikin Mekah tidak menggunakan hujjah ini untuk menjatuhkan Nabi Muhammad melainkan hujjah ini tidak relevan dan tidak benar.

Kesimpulannya, penulis telah menjawab dakwaan “Al-Qur’an ialah kitab tiruan”. Penulis telah membuktikan bahawa ia adalah mustahil pada aqal untuk mengatakan sedemikian. Walaupun, pada realitinya, ramai penentang Islam, bukan hanya missionary christian menggunakan hujjah ini. Penulis mengharapkan tulisan ini dapat menolak syubhat yang dibawa. Sebelum penulis mengakhiri tulisan, marilah kita merenung dan berfikir tentang keajaiban Al-Qur’an yang diturunkan 1400 tahun dahulu, tetapi, telah pun dikatakan di dalam Surah Al-Furqan ayat 4-6 :

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا إِفكٌ افتَراهُ وَأَعانَهُ عَلَيهِ قَومٌ آخَرونَ ۖ فَقَد جاءوا ظُلمًا وَزورًا (٤) وَقالوا أَساطيرُ الأَوَّلينَ اكتَتَبَها فَهِيَ تُملىٰ عَلَيهِ بُكرَةً وَأَصيلًا (٥) قُل أَنزَلَهُ الَّذي يَعلَمُ السِّرَّ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّهُ كانَ غَفورًا رَحيمًا (٦

Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain”. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta (4). Dan mereka berkata lagi: “Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)” (5). Katakanlah (Wahai Muhammad): “Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (6)

Al-Quran Dituduh Meniru 70% Isi Kandungan Bible