Jalan Ilahi Hamba Abdi Dakwah – J-I-H-A-D

Apakah Jihad Yang Sebenar-benarnya?

125 Views in
Story MakerYears Of Membership

17 Mac 624M.

17 Ramadan 2H.

Lima hari telah berlalu, jika kita menghitung hari menurut bulan Masihi. Namun, jika dihitung menurut bulan Hijri, kurang daripada dua bulan lagi peristiwa bersejarah ini akan diulang ingati. Kisah benar. Kisah yang membuatkan dunia mencelikkan matanya. Malah, kisah ini terpatri indah dalam Tarikh Islami. Menurut Paul K. Davis dalam karyanya,100 Decisive Battles from Ancient Times to the Present: The World’s Major Battles and How They Shaped History (Oxford: Oxford University Press, 1999), 95–96 :

“Kemenangan Mohammed mengisahkan kuasanya sebagai ketua Islam; dengan menarik hati suku-suku Arab yang menyertai beliau, bermulalah pengembangan Islam.”

Sahabat, apakah kisah di sebalik tarikh ini?Yang pastinya, kisah luar biasa ini telah menjadikan titik tolak dalam perkembangan dan perubahan dakwah Islam.

Jawapan : PEPERANGAN BADAR.

Tahniah bagi yang berjaya menjawab dengan betul. Bagi yang tidak berjaya menjawab dengan betul, tidak mengapa, di sini saya cuba membawakan anda, kisah di sebalik setelah kemenangan perang terbesar ini. Maaf, kerana saya tidak mampu mengulas panjang peperangan ini secara detail. Tetapi cukup saya kupas daripada sebuah hadis Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. bersabda setelah pulang dari perang Badar. “Kita telah pulang dari jihad yang kecil (peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang lebih besar? Rasulullah s.a.w. bersabda: Jihad menentang hawa nafsu.”

🌐 Mensinergikan makna jihad – ijtihad – mujahadah :

Jihad : sebuah perjuangan atau kesungguhan yang lebih menekankan terhadap gerak tubuh atau badan.

Ijtihad : perjuangan yang menekankan pada gerak dan fungsi otak dalam membuat keputusan, mengahasilkan idea-idea cemerlang dan renungan-renungan akan kebesaran Allah S.W.T.

Mujahadah : aktiviti-aktiviti perjuangan yang dilakukan oleh gerak hati atau nurani.

🌐 Hukum bermujahadah :

Fardhu Ain. Wajib bagi setiap mukalaf (setiap umat islam) untuk bermujahadah. Allah S.W.T. juga memberi peringatan kepada umat manusia agar membersihkan jiwa dalam firmanNya:

“dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Q.S. Asy-Syams, 91 : 7-10)

Kita perlu sedar bahawa mujahadah merupakan tuntutan terbesar dalam proses pembersihan jiwa. Mujahadah yang kuat, sangat-sangat diperlukan dalam membuang segala maksiat terutamanya maksiat yang kita lakukan tanpa kita sedar sehingga kita merasakan perkara tersebut bukanlah sebuah maksiat. Misalnya, membuang masa dengan games, movies dan tidur yang berlebihan.

Daripada Fadhalah bin ‘Ubaid, bahwa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

المجاهد من جاهد نفسه

“Mujahid adalah orang yang berjihad terhadap hawa nafsunya.” (HR. At Tirmidzi No. 1621, katanya: hasan shahih. Abu Daud No. 1258)

Allah juga telah berfirman :

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Q.S. Al-Ankabut, 29 : 69)

Menurut tafsir Al-Qurthubi dalam tafsirnya, sesungguhnya ayat ini telah diturunkan sebelum kewajipan berperang lagi. Dan perkara ini menunjukkan bahawa, ‘jihad’ di dalam ayat ini merupakan jihad melawan hawa nafsu.” Begitu jugalah menurut tafsir Ibnu Juzai bahawa ‘jihad’ di sini membawa maksud jihad melawan hawa nafsu.

🌐 Cabang-cabang jihad mengikut keutamaan :

1. Mujahadah An-Nafs (Jihad melawan hawa nafsu).

2. Mujahadah Asy-Syaitan (Jihad melawan syaitan).

3. Mujahadah Al-Aduw Az-Zhohirah (Jihad melawan musuh yang nyata iaitu perang).

Rentetan Surah Al-Ankabut ayat 69 tadi, Ibnu Qayyim rahimahullah berkata, “Dalam ayat ini Allah mengaitkan hidayah dengan jihad. Orang yang paling sempurna hidayahnya adalah yang paling sempurna jihadnya. Jihad yang paling wajib adalah menjihadi diri sendiri, menjihadi hawa nafsu, menjihadi syaitan, dan menjihadi dunia.

Siapa yang menjihadi empat perkara ini kerana Allah, maka Allah akan memberinya hidayah kepada jalan-jalan keredhaanNya yang akan menyampaikannya ke syurga. Siapa yang meninggalkan jihad, maka ia akan kehilangan hidayah sejumlah jihad yang ia tinggalkan.”

🌐 Antara langkah berjihad melawan hawa nafsu :

  1.  Menunaikan solat 5 waktu tepat pada waktunya.
  2.  Menunaikan solat berjemaah sesering mungkin.
  3.  Mendirikan solat dengan khusyuk.
  4.  Berbuat baik kepada orang tua, baik yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
  5.  Menjadi rahmat dalam lingkungan sosial.
  6.  Membersihkan hati dari rasa sombong, ria’, dendam dan dengki.
  7.  Memelihara lisan dari perkataan bohong dan berbantah-bantahan.
  8.  Mengikhlaskan usaha dan menyucikan makanan dari yang haram.
  9.  Bertaubat kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya taubat.

🌐 Peringatan buat kita :

Mujahadah melawan hawa nafsu merupakan pondasi dalam sebuah penghijrahan dan perubahan. Al-Junaid berkata berdasarkan ulasan daripada Surah Al-Ankabut ayat 69, “(Maksudnya) Dan orang orang yang menjihadi hawa nafsunya di jalan Kami dengan cara bertaubat, Kami akan memberikan kepada mereka hidayah kepada jalan-jalan ikhlas.”

Sedarlah bahawa, kekuatan kita yang nyata apabila kita mampu mengawal hawa nafsu. Andaikan sahaja jihad hawa nafsu sahaja lemah, bagaimana kita mahu berjihad dalam peperangan?

Yakinlah bahawa sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjihad di jalanNya. FirmanNya :“Sesungguhnya Allah mencintai hamba hambaNya yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Q.S. Shaff, 61 :  4).

Wallahu A’lam.

➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖

220319 || 1832 || 15 Rejab 1440H.

💠 Ustazah Siti Nurfatin binti Norasid.

💠 Usuluddin (tahun 1), Ulum Islamiah.

💠 Universiti Al-Azhar.

💠 Fb : JIHAD

💠 Telegram :

Generasi Rabbaniyun

Monologdaie