Apa Kaitan Dewi Nuwa Dengan Yee Sang?

577 Views in
Content AuthorCommunity ModeratorVerified UserYears Of MembershipStory MakerList MakerUp/Down VoterGallery Maker

Di dalam perayaan tahun baru Cina sebenarnya terdapat satu kepercayaan di dalam mitologi Cina tentang penciptaan manusia di dunia yang dikenali ‘Renri’ (penciptaan manusia). Lagenda Cina menyebut yang menciptakan manusia adalah seorang dewi yang dikenali sebagai Nuwa, imejnya digambarkan seorang dewi yang berkepala manusia dan berbadan ular.[1]

Diceritakan bahawa setelah Dewa Pangu memisahkan langit dan bumi, Dewi Nuwa berjalan-jalan di dunia. Walaupun dunia ini sudah mempunyai gunung, pokok, rumput dan haiwan, namun, Dewi Nuwa merasakan dunia ini masih rasa serba kekurangan. Pada suatu hari, ketika dewi Nuwa berjalan-jalan di bumi, dia terasa sangat sepi. Maka, dia memutuskan untuk mencipta sesuatu yang boleh memakmurkan dunia.[2]

Pada hari ketujuh pada tahun baru, ketika berjalan-jalan dipinggir Sungai Kuning, Dewi Nuwa mengambil lumpur lalu diciptakan patung dari tanah liat. Dewi Nuwa menghembuskan nafas kepada patung lumpur tersebut, lalu patung-patung itu hidup. Mereka boleh berjalan, bersuara dan sangat cerdik. Lalu Nuwa memberikan nama kepadanya sebagai ‘manusia’. Dia juga memberikan ciri-ciri Yin dan Yang kepada manusia pertama itu, Yang (adalah lelaki) kepada beberapa buah patung itu. Mereka terus menjadi kaum lelaki yang kuat. Kemudian, dia memberikan unsur Yin (perempuan) pula kepada patung-patung yang lain. Mereka terus menjadi kaum wanita yang lemah lembut. Lelaki dan wanita yang hidup itu terus bergembira dan bersuka ria. Bumi pun menjadi lebih makmur.

Nuwa ingin menjadikan manusia memenuhi seluruh bumi. Namun, untuk menghasilkan manusia dengan tangannya akan memakan masa dan Nuwa sendiri merasa terlalu penat. Jadi, dia menggunakan cara lain untuk menghasilkan manusia dengan cepat. Dia mengambil tali dan mencelupnya di dalam lumpur dari dasar sungai, kemudian dia melibaskan tali tersebut sehingga lumpur bertaburan jatuh ke bumi, lalu lumpur itu menjadi manusia. Dengan yang demikian, manusia telah dihasilkan dengan banyak sekali sehingga memenuhi seluruh bumi.[3]

Manusia yang diciptakan pada awalnya dengan tangan sendiri adalah kaum bangsawan dan yang kemudian diciptakan dari gumpalan tanah liat yang dikibaskan memakai tali adalah rakyat biasa.[4]

Peringatan Pada Hari Ketujuh Tahun BaruDan hari ketujuh pada bulan pertama dikenali sebagai “hari jadi” semua manusia. Ia sempena peringatan penciptaan manusia oleh Dewi Nuwa pada hari ketujuh. Dewasa ini, hari ketujuh pada bulan pertama, hari kejadian manusia ini diraikan sebagai sebahagian daripada Tahun Baru Cina.[5]

Orang Cina akan meraikan hari tersebut dengan menyediakan makanan bertuah pada tahun baru seperti “tujuh sup sayuran” (七 菜羹), “tujuh sayuran sayur” (七 菜粥) dan “jidi congee” (及第 粥) disediakan khusus untuk memperingati hari manusia diciptakan. Akan tetapi rakyat Cina Malaysia dan Singapura pula agak berlainan gayanya dengan memiliki “ikan mentah tujuh warna” (七彩 魚 生) atau dikenali sebagai Yusheng atau Yee Sang.[6]

Makanan-makanan ini akan dipadankan dengan tujuh warna atau tujuh jenis sayuran yang berlainan sebagai simbolik kepada mitos Dewi Nuwa menciptakan manusia pada hari ketujuh.Gaya makanan ini berbeza-beza mengikut tempat dan simbolik mereka memberi makna kepada tujuh.

#1 Sejarah Yee Sang Di Malaysia

Perayaan hari jadi manusia pada hari ketujuh diraikan oleh masyarakat Cina. Masing-masing memiliki gaya persembahan kepada makanan simbolik hari ketujuh itu. Amalan ini dilakukan terutama sekali oleh masyarakat Cina di sebelah timur iaitu Kanton, China terutama pada zaman dinasti Song. Masyarakat Cina disebelah Timur ini (Kantonis) ramai dikalangan mereka adalah nelayan. Oleh itu mereka memiliki gaya persembahan makanan pada ‘hari jadi semua manusia’ itu dengan menyediakan isi ikan mentah dikelilingi dengan tujuh jenis atau warna sayur disekeliling. Ia dikenali sebagai Yee Sang.

Pada abad ke 19 M masyarakat Cina di sebelah wilayah Timur inilah yang ramai berhijrah ke negara-negara Asean termasuk Malaysia dan Singapura.[7] Oleh itu pemakanan Yee Sang ini berlaku inovasi di Malaysia sehingga ia dianggap makanan penting pada tahun Baru. Ia dikatakan dipopularkan Loke Ching Kee, datuk kepada Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, pada tahun 1940-an.

Antara beberapa perkara baru yang diperkenalkan oleh beliau, makanan ini dimakan pada awal Tahun Baru Cina. Loke Ching Kee menyediakan Yee Sang pada hari keempat hingga ketujuh Tahun Baharu Cina di kedainya di Jalan Kong Sang, Seremban. Mereka melakukan acara melambung Yee Sang sambil melaungkan “Lou Hei” yang bermaksud gaul naik.

Mereka juga mengucapkan doa seperti kata-kata yang baik seperti “semoga bertambah rezeki”, “semoga panjang umur”, “semoga keluarga bahagia” dan sebagainya. Ia dihidangkan dengan mencampurkan tujuh jenis warna juadah yang berlainan seperti hirisan betik, lobak putih, lobak merah, salmon mentah, kekacang, aneka sayur-sayuran dan aneka sos serta ramuan lain.[8]

Pada asalnya makanan ini adalah signifikan kepada kepercayaan Dewi Nuwa yang menciptakan manusia. Akan tetapi pada hari ini ia menjadi makanan yang sinonim dengan Perayaan Tahun Baru itu sendiri.

#2 Kesimpulan

Yusheng atau Yee Sang bukanlah makanan baru dikalangan orang cina. Cuma gaya makanan baru yang diperkenalkan itu hanyalah resepi dan juga gaya ketika memakannya. Banyak perbahasan mengenai Yee Sang ini dikatakan telah berlaku perubahan dari bentuk ritual keagamaan kepada amalan budaya. Ada beberapa perkara perlu dirincikan:

1) Ia berasaskan kepada kepercayaan agama tradisi Cina iaitu kepercayaan Dewi Nuwa mencipta manusia dan Yee Sang dibuat untuk menghormati peristiwa tersebut (Renri).

2) Berdoa ketika melambung Yee Sang “Lo Hei” mengangkat tinggi dan berdoa perkara yang baik-baik adalah amalan baru yang dilakukan pada tahun Baru Cina di Malaysia dan Singapura.

3) Hanya memiliki 7 warna dan tidak boleh dikurangkan atau ditambah. Setiap warna memiliki maksud tertentu. Warna-warna ini juga memberi simbolik kepada hari ketujuh penciptaan manusia oleh Dewi Nuwa.

4) Makanan Yee Sang hanya boleh dijumpai pada Hari Raya Cina sahaja dan tidak pada hari lain. Tidak sama dengan konsep ketupat, rendang dalam perayaan Aidilfitri kerana pada hari-hari lain juga makanan ini sentiasa ada dijual dan boleh dimakan. Tetapi tidak pada Yee Sang.

Dari kalangan muslim, kami meraikan pendapat yang mengatakan harus melakukan Lo Hei sambil melambung Yee Sang dengan mereka membawa hujah ia adalah amalan budaya. Akan tetapi hujah di atas ini menerangkan kembali mengenai amalan itu samada ia dilakukan berdasarkan budaya atau ritual keagamaan. Kami melihat ia lebih berbentuk kepercayaan agama (Chinese Folk Religion).

#3 Notakaki

[1] Lihat E.T.C Werner, (2016). Myths and Legends of China, Dover Publications, New York, hlm 81[2] Lihat Chen Lianshan (2011). Chinese Myth And Legend, Cambridge University Press, UK, hlm 10[3] ibid[4] New World Encylopedia, Nuwa,-http://www.newworldencyclopedia.org/entry/Nuwa[5] Lihat : http://culture.people.com.cn/…/555…/55547/55554/3865273.html [6] Lihat: https://web.archive.org/…/fes…/singapore_festival300101.html[7] Lihat : http://ieatishootipost.sg/the-history-and-origins-of-yu-sh…/[8] Lihat Mohamad Tajuddin dan Cheah Ding Ding, (2011). Kepincangan Perumahan Malaysia: Adat dan Ritual Kaum Cina, UTM Press, Johor, hlm 62

Artikel ini ditulis oleh R&D Team Multiracial Reverted Muslims