in

Insiden kematian gajah di Sabah membimbangkan

Years Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterContent AuthorQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

KOTA KINABALU: Insiden gajah mati di Sabah dilihat semakin membimbangkan selepas 19 ekor gajah jenis ‘Pygmy Borneo’ direkodkan mati dari awal tahun sehingga bulan ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, kebanyakan bangkai gajah ditemui mati di daerah Lahad Datu, Kinabatangan, Telupid dan Lok Kawi.

Tambah Augustine, faktor utama kematian gajah-gajah tersebut adalah disebabkan penyakit namun siasatan menyeluruh mengenai sebab lain masih giat dilakukan pihaknya.

“Kebanyakan gajah ini mati disebabkan penyakit kerana melalui analisa tosikologi dan bakterialogi kami masih belum peroleh keseluruhan keputusan.

“Setakat ini ada dua ekor gajah yang mati disebabkan jerat namun kita memerlukan lebih ramai pakar-pakar yang boleh mengkaji secara mendalam sebab utama kematian gajah-gajah di Sabah ini,” katanya ketika ditemui AWANI di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Augustine turut menyatakan bahawa kemusnahan habitat gajah oleh manusia juga merupakan salah satu faktor yang membawa kepada kematian haiwan terancam ini.

Menurutnya, walaupun Sabah mempunyai keluasan hutan simpan yang besar namun tidak semua kawasan hutan tersebut sesuai dijadikan habitat gajah.

“Dari segi gangguan memang berlaku kerana semua kawasan sekarang ini ditanam dengan kelapa sawit yang dahulunya merupakan habitat semula jadi gajah liar.

“Walaupun Sabah mempunyai hutan simpan yang besar dan separuh daripada luas kawasan Sabah masih dilitupi hutan tetapi tidak semua kawasan hutan ini sesuai dengan habitat haiwan berkenaan.

“Ini kerana kawasan-kawasan tertentu misalnya mempunyai cerun-cerun bukit yang tinggi dan mungkin sebahagian kecil kawasan ini sesuai dijadikan habitat gajah,” katanya.

Menurut Augustine, satu perbincangan untuk menambah baik pusat perlindungan hidupan liar giat dilakukan JHL Sabah dalam menangani isu gajah mati di negeri ini.

Untuk rekod, empat kes kematian ‘gajah Sabah’ direkodkan bulan ini termasuk satu lagi kes terbaharu kematian seekor gajah jantan juvenil di Kampung Karamuak, Tongod pagi tadi dan punca kematian gajah tersebut masih belum dijalankan.