in

Antara Simpanan dan Pelaburan, Mana Yang Lebih Menguntungkan?

Story Maker

Gambar sekadar hiasan

Mungkin hari ini kita sering mengeluh dan terbeban dengan kos sara hidup yang kian meningkat, sedangkan pendapatan masih sama tidak pula meningkat seperti harga barang. Jadi bagaimana kita ingin menguruskan kewangan dan lebihan hasil pendapat dengan baik? Adakah melalui simpanan atau pelaburan?

Apa Itu Simpanan ?

Simpanan adalah menyimpan atau menabung sebahagian daripada pendapatan yang anda perolehi sama ada potongan awal ataupun lebihan daripada penggunaan gaji anda.

Apa Pula Pelaburan?

Pelaburan adalah meletakkan sejumlah wang untuk dikembangkan bertujuan mendapatkan pulangan yang berlipat ganda. Manakala, setiap pelaburan ada risiko tersendiri bergantung kepada kesanggupan pelabur, semakin tinggi risiko semakin tinggi pulangan. Tapi adakah anda berani untuk menanggung risiko?

Kenali Dahulu Simpanan Dan Pelaburan Yang Ada Di Malaysia:

1. Simpanan Tunai Tetap 

Ini adalah satu bentuk pelaburan juga kerana anda boleh mengembangkan duit simpanan dengan perolehan daripada dividen, faedah, hibah tetapi perlu menunggu tempoh matang untuk mendapatkan dividen tersebut.

Kaedah ini tiada risiko yang ditanggung bahkan paling selamat jika dibandingkan dengan pelaburan yang lain.

Gambar sekadar hiasan

Contoh simpanan tunai tetap adalah fixed depositdengan faedah yang berbeza pada setiap bank sekitar 1-4% (anggaran kasar) dalam tempoh matang minima 1 bulan dan maksima 60 bulan, tertakluk kepada syarat bank.

Tabung Haji juga menawarkan simpanan kepada orang islam dengan pemberian hibah (4% – 6%), bonus tahunan (1.25% – 2.5%), serta potongan zakat bagi yang cukup nasob. Anda juga boleh mendaftarkan diri anda serta mana-mana ahli keluarga untuk mengerjakan haji dengan baki minimum akaun TH sebanyak RM1,300.

2. Unit Amanah Saham

Pelaburan yang melibatkan tiga pihak iaitu pelabur(pengeluar modal), pengurus dana(pengurus agihan modal) serta pemegang amanah(pemantau aliran wang). Risiko kepada pelabur adalah bergantung kepada kehendak pelabur, semakin tinggi risiko semakin tinggi pulangan.

Terdapat sebahagian ejen Unit Trust yang mencanang pulangan 15% – 20% bahkan ada juga 20% – 30% dan kebiasaannya sekitar 6% – 8%, manakala tempoh kematangan sekitar 3 sehingga 5 tahun (kebiasaan) atau lebih.

Terdapat beberapa caj yang dikenakan terhadap pelabur Unit Trust dan setiap caj yang dikenakan berbeza bergantung kepada pihak ejen antaranya sales charge (5% – 6.5%), management fee (0.5% – 2%), trustee fee (0.07% – 0.2%) yang dikenakan setahun sekali manakala, switching fee (0.5% – 2%) dikenakan sekiranya pelabur ingin menukar ke dana pelaburan lain, dan redemption fee (1% – 5%) dikenakan sekiranya pelabur ingin menjual unit pegangan.

Contoh unit amanah yang terkenal adalah produk yang dikeluarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNBseperti: Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Manakala unit amanah yang dikeluarkan oleh syarikat lain seperti Kenanga Shariah Growth FundPMB Shariah Aggressive Fund dan lain-lain.

3. Pasaran Saham

Gambar sekadar hiasan

Melabur dalam pasaran saham bermaksud anda membeli sebahagian daripada pemilikan syarikat di Bursa Malaysia. Anda juga berkelayakan untuk mendapat dividen, bonus syarikat serta menghadiri mesyuarat tahunan syarikat.

Asas dalam pelaburan saham adalah membuka akaun CDS di mana-mana broker dan anda berpeluang mendapat khidmat nasihat remisier secara percuma. Kemudian anda hanya perlu menyediakan modal serendah RM100 sahaja untuk membeli kaunter shariah di platform yang disediakan.

Secara umumnya seorang pelabur perlu ketahui asas Teknikal Analisis(corak pergerakan chart),Fundamental Analisis(perjalanan sebuah syarikat) dan Sentimen (berita dan isu semasa) mengenai pasaran.

Risiko yang ditanggung oleh pelabur adalah tinggi kerana ia volatile, harga suatu saham boleh naik dan turun secara drastik pada bila-bila masa. Sekiranya anda tidak sanggup menanggung kerugian, jangan melabur dalam saham.

Terdapat beberapa sektor di dalam pasaran saham seperti sektor perindustrian, sektor teknologi, sektor pembinaan, sektor kewangan dan banyak lagi. Antara kaunter saham di papan bursa adalah syarikat Nestle (RM144), F&N (RM33.18), Dutch Lady (RM62.9), Maybank (RM9.27), Top Glove (RM5.63), Padini (RM5.6) dan lain-lain.

4. Pelaburan Hartanah

Gambar sekadar hiasan

Suatu pelaburan jangka masa panjang dengan cara anda membeli tanah, rumah atau kedai, kemudiannya dijual kepada pembeli atau disewakan untuk mendapat keuntungan.

Dengan hartanah yang anda miliki seperti rumah, tanah atau kedai, anda juga boleh menggunakannya saat diperlukan jika hendak dibandingkan dengan saham atau unit amanah.

Manfaat lain yang diperolehi pelabur adalah aliran pasif (sekiranya disewakan) dan hasil tersebut menjadi pendapatan pasif anda, serta anda masih boleh bekerja seperti biasa dengan pendapatan ‘2 in 1’.

Manakala pendapatan itu lebih tinggi daripada dividen tahunan anda. Hartanah juga dikenali sebagai aset kekal, kian hari harganya pasti meningkat kerana tahap kecairan yang tinggi.

Tanah makin hari makin berkurang kerana digunakan untuk pembinaan bangunan, manakala rumah pula adalah keperluan manusia, maka tidak mustahil selepas 5-10 tahun akan datang harganya meningkat 100 kali ganda.

5. Pelaburan Barang Komoditi

Komoditi adalah bahan mentah yang didagangkan antara dunia dalam keadaan fizikal dan dibeli secara pukal seperti emas, perak, minyak sawit(crude palm oil), petroleum (crude brent oil), gas, aluminium dan lain lagi.

Maka yang dimaksudkan pelaburan ke atas barang komoditi ialah pelabur melaburkan wang mereka ke atas bahan mentah secara spot cash atau pasaran hadapan.

Gambar sekadar hiasan

Berbeza pula bagi pelaburan emas dan perak, kerana ia dikategorikan sebagai aset kekal dan pelabur hanya membeli dan menyimpan sahaja atau membeli dan menjualnya.

Walaupun begitu, pemegang emas dan perak ini tidaklah akan menjadi kaya dan tidak pula ia jatuh miskin sekiranya berlaku krisis kerana barang tersebut merupakan aset bernilai sepanjang zaman.

Sekiranya anda ingin mendapatkan keuntungan lebih cepat dan pendapatan yang tinggi, emas dan perak bukanlah tempatnya.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat dan pembacaan khusus di Majalah Labur Saham ataupun Jom Urus Duit sebagai rujukan serta banyak lagi website dan blog yang boleh anda cari.

Jadi fikirkan pada hari ini, bagaimana anda ingin kembangkan wang anda. Jangan salahkan orang lain ketika mana wang anda habis, tapi cari penyelesaian bagaimana anda ingin mengatasi masalah tersebut.

Jangan lupa follow TrendNiaga di Facebook untuk mengikuti perkembangan terkini dunia pelaburan dan perniagaaan tempatan dan global.

Buat pembaca Trendniaga yang ingin menambah input bermanfaat berkenaan pelaburan hartanah pula, artikel ini untuk anda:

Beli Rumah Sebagai Aset Pelaburan? Tidak Lagi Terpakai Pada Zaman Sekarang




  • Leave a Reply

    Kejutan! London Tutup 500 Gereja, Buka 423 Masjid Baru..

    Ada Apa Dengan Kosong?