in ,

Ahmad Zahid, Hishammuddin menghadap Raja Perlis

Content AuthorYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

ARAU: Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, dipercayai berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perlis yang belum selesai.

Ahmad Zahid yang disertai Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dilihat memasuki kawasan Istana kira-kira pukul 11.20 pagi menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Tuanku Syed Sirajuddin pula dilihat memasuki kawasan Istana menaiki kenderaan rasmi baginda kira-kira pukul 11.55 pagi.

Pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam 20 minit sebelum Ahmad Zahid dan Hishammuddin dilihat keluar dari kawasan Istana pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Mereka hanya melambai ke arah wartawan yang menunggu di luar istana manakala kenderaan yang membawa mereka tidak berhenti.

Pertemuan dipercayai berkaitan isu pelantikan Menteri besar yang belum selesai setelah kesemua 10 anggota Dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional (BN) menghadap Tuanku Syed Sirajuddin pada 18 Mei lepas.

Sebelum itu pada 12 Mei, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan mempersembahkan tiga nama kepada Tuanku Syed Sirajuddin untuk dipilih sebagai Menteri Besar.

Kemelut yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas itu telah berlanjutan sehingga hari ke-13 hari ini, seakan-akan menyamai kes pelantikan Menteri Besar pada 2008 yang mengambil masa sehingga dua minggu untuk diselesaikan.

Pada PRU14, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan, cukup untuk BN menubuhkan kerajaan, namun sehingga hari ini Perlis adalah satu-satunya negeri yang belum melantik Menteri Besar.

— BERNAMA