in

5 sebab skuad Jerman pulang awal ke halaman sendiri

Content AuthorYears Of MembershipCommunity ModeratorVerified UserUp/Down VoterQuiz MakerPoll MakerStory MakerImage MakerAudio MakerVideo MakerGallery MakerEmbed MakerList MakerMeme MakerEmoji Addict

SKUAD bola sepak kebangsaan Jerman telah meninggalkan pangkalan Piala Dunia di Vatutinki untuk pulang ke halaman sendiri.

Kekecewaan menyelubungi setiap pemain dan petugas skuad Jerman yang tidak menjangkakan ia berakhir penuh memalukan dan turut melakar sejarah hitam buat pasukan berkenaan.

Keputusan kalah 2-0 di tangan skuad Korea Selatan pada Rabu lepas menjadikan Jerman menjadi pasukan juara dunia yang ketiga berturut-turut yang tersingkir selepas perlawanan dalam peringkat kumpulan, selepas Itali dan Sepanyol.

Itali menjadi juara dunia pada tahun 2006, namun tersingkir dalam peringkat kumpulan pada tahun 2010, begitu juga Sepanyol selaku juara pada tahun 2010 dan tersingkir pada tahun 2014.

Sebelum ini, Perancis merupakan skuad pertama yang terkena ‘badi juara dunia’ apabila memenangi Piala Dunia tahun 1998 dan tersingkir dalam peringkat kumpulan pada kejohanan berikutnya pada tahun 2002.

BACA: Badi gelaran juara bertahan berterusan, Jerman pulang awal 

Hal ini menjadi persoalan ramai, adakah ‘teori sumpahan juara dunia’ yang kini menghantui skuad Jerman itu benar?

Pakar bola sepak daripada FIFA telah menyelidik punca di sebalik kegagalan skuad Die Mannschaft dalam kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Berikut adalah punca kejatuhan awal salah satu skuad gergasi Eropah, menurut penelitiannya. 

1. Terlalu optimistik dan berfikir semuanya akan berhasil di penghujung nanti

Skuad Jerman seakan-akan telah memegang prinsip ‘pasti akan membuahkan hasil di saat-saat akhir nanti’ dalam kejohanan Piala Dunia kali ini.

Setelah skuad Jerman mempersembahkan aksi merudum pada perlawanan pemanasan badan, di mana Jerman kalah 2-1 dengan Austria dan hanya raih kemenangan tipis 2-1 melawan Arab Saudi, Jerman masih mengandaikan bahawa skuad berkenaan mampu berubah menjadi lebih baik sewaktu bermulanya kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia ibarat mengetik suis lampu.

Namun andaian mereka tidak tepat apabila bertembung dengan skuad Mexico. Prestasi mereka tetap hambar seperti sewaktu perlawanan pemanasan sebelum ini, dan lebih menyedihkan apabila mereka kalah diasak oleh Mexico dengan keputusan 1-0, menang tipis 2-1 terhadap Sweden sebelum Korea Selatan menghantar mereka pulang ke halaman sendiri dengan keputusan 2-0. 

“Sebelum mula perlawanan Mexico, saya rasakan seolah-olah kami mempunyai sifat pentingkan diri sendiri,” akui Joachim Low setelah Jerman tersingkir.

Statistik: Jerman hanya mengetuai perlawanan selama satu minit dalam perlawanan Piala Dunia 2018.

2. Masih mengekalkan pemain yang pernah meraih juara dunia

Ini merupakan corak yang kebiasaannya digunapakai oleh kesemua skuad bekas juara dunia dan ia disebabkan jurulatih masih menaruh harapan terhadap pemain yang pernah menjuarai kejohanan Piala Dunia untuk meneruskan prestasi kecemerlangan skuad.

Walaupun tidak semestinya beberapa pemain yang menjuarai Piala Dunia 2014 sudah kurang berbisa, namun sepatutnya pemain muda, misalnya Julian Brandt, perlu diberikan peluang untuk diturunkan ke padang bagi menyesuaikan diri dalam perlawanan peringkat tinggi.

Pemain itu seterusnya dapat menggantikan pemain yang pernah menjuarai Piala Dunia 2014 oleh kerana faktor umur dan kecergasan.

Statistik: Jerman hanya menjaringkan dua gol di Rusia 2018, kurang daripada mana-mana perlawanan Piala Dunia sebelum ini. Hanya Panama yang menjaringkan lebih sedikit (satu gol).

3. Corak permainan yang mampu dibaca

Sewaktu perlawanan sulung dalam Kumpulan H berlangsung, ketiga-tiga penyerang daripada skuad Mexico mempunyai idea yang cukup tepat untuk mempersiapkan diri mereka untuk tidak mensia-siakan peluang keemasan, tanpa cacat cela.

Skuad Korea Selatan juga berjaya meneutralkan strategi Jerman yang sering menukar  corak di bahagian sayap pada minit terakhir perlawanan.

Ini menjadi lebih parah apabila jentera penyudah Jerman kurang memiliki elemen kejutan, sungguhpun corak permainan mereka yang lebih menjurus kepada cora ‘possession’ kekal di tahap yang baik.

Adalah rugi bagi mereka yang meminggirkan bakat Leroy Sane yang dilihat mampu memberi kejutan di posisi penyerang di samping pernah dianugerahkan pemain muda terbaik Liga Perdana musim 2017/2018.

Oleh sebab itu percaturan skuad Jerman pada kejohanan kali ini dilihat mudah diramal.

4. Kegagalan menukarkan peluang untuk menjaringkan gol

Adalah tidak tepat untuk terus menuduh bahawa skuad Jerman gagal mencipta sebarang peluang mejaringkan gol, walaupun peluang demikian sangat terbatas. Cuma, Jerman terlepas banyak kali untuk menukarkan peluang keemasan kepada jaringan gol.

Juara bertahan tahun 2014 tidak memiliki penyudah yang meyakinkan, hal ini dapat dilihat Thomas Muller yang tidak dapat memenuhi peranannya seperti yang diharapkan. Begitu juga Mario Gomez dan Timo Werner.

Statistik: Jerman mempunyai 67 percubaan ke gawang, berbanding Brazil yang mempunyai 56 percubaan dan Sepanyol sebanyak 45 percubaan.

Masa depan Die Mannschaft?

Tidak diragui lagi bahawa proses membina semula skuad bola sepak Jerman akan mengambil masa untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni dalam dunia bola sepak.

Ketika skuad Jerman telah tiba di Frankfurt pada petang Khamis, Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (Deutscher Fußball-Bund – DFB), Reinhard Grindel menjelaskan bahawa perjanjian telah dicapai bagi pihak pengurusan untuk mengemukakan analisis awal sukan mereka ke lembaga DFB pada minggu depan.

Selepas itu, jurulatih diharap akan membuat kenyataan mengenai masa hadapan DFB dan tugasnya sekarang adalah untuk membuka jalan bagi perubahan radikal yang perlu dibuat.